'Percepat siasatan nahas helikopter TLDM' - Takiyuddin

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan menteri yang akan menubuhkan sebuah lembaga siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) susulan nahas helikopter untuk mengenal pasti punca kejadian adalah langkah tepat dan wajar disegerakan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti mengalu-alukan beberapa tindakan pantas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkait insiden itu termasuk membatalkan acara sambutan ulang tahun TLDM dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

“Walaupun tidak menetapkan had masa menyediakan laporan interim kejadian, jaminan menteri untuk melakukannya, selain keputusan kementerian menubuhkan sebuah lembaga siasatan TLDM bagi mengenal pasti punca kejadian adalah langkah tepat dan sewajarnya disegerakan tanpa lengah.

“Pas juga menyambut baik jaminan Datuk Seri Mohamed Khaled untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa tetapi mengurus semua manfaat serta faedah sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa bagi menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu, berhubung insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM, ketika menjalani raptai untuk kali ketiga bersempena dengan sambutan Hari Terbuka Armada TLDM.

Nahas berkenaan telah menyebabkan 10 anggota TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak dan Kota Kinabalu, Sabah maut.

Dalam pada itu, parti berkenaan turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga semua anggota dan berharap agar mereka tabah serta sabar mengharungi kehilangan tersebut.

“Pas merakamkan rasa sedih dan terkejut atas insiden kemalangan helikopter yang mengorbankan 10 orang anggota tentera kita dalam raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun ke-90 TLDM di Pangkalan TLDM Lumut awal pagi semalam (Selasa).

Artikel Berkaitan:

“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga semua anggota terlibat dengan harapan mereka akan menemui kekuatan untuk mengharungi kehilangan ini dengan tabah dan sabar, selain mendoakan kesejahteraan serta kebaikan kepada mangsa,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!