Fama pastikan pengguna mudah dapat bawang merah tempatan

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memainkan peranan proaktif dalam memastikan bekalan bawang merah tempatan dapat diperoleh dengan mudah oleh pengguna menerusi outlet pemasaran FAMA di seluruh negara.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata untuk itu, satu program intervensi yang memberi tumpuan kepada pemasaran bawang merah tempatan yang ditanam di kawasan ditentukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melibatkan 40 pusat operasi FAMA dilaksanakan menerusi pelbagai program antaranya Jualan Agro MADANI, outlet pemasaran KPKM dan jualan portal Agrobazaar Online.

"Pada peringkat permulaan ini, FAMA telah menyasarkan jualan bawang tempatan itu melalui promosi Kombo Madani sempena program Jualan Agro Madani yang akan diadakan di 5,000 lokasi seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 416 outlet pemasaran FAMA juga bersedia memastikan bekalan komoditi berkenaan dapat diperoleh dan selain menjangkakan komoditi itu akan meningkat pada penghujung tahun ini, selaras dengan peningkatan tanaman bawang tempatan di seluruh negara.

Abdul Rashid berkata, usaha KPKM terhadap penanaman bawang merah tempatan akan meningkatkan lagi bekalan bawang di pasaran, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import pada masa hadapan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: