Tiga jenis bawang merah berjaya dihasilkan - Mat Sabu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diarah memantau rapat pertumbuhan dan pengeluaran Bawang Merah MARDI BAW-1 bagi memenuhi matlamat pengurangan import bawang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, data-data yang akan diperoleh mampu membantu kementerian merangka pelan penanaman bawang merah tempatan secara besar-besaran.

Mohamad berkata, penyelidikan yang dijalankan pada tahun lepas telah menghasilkan tiga jenis bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

"Alhamdulillah, Jabatan Pertanian Malaysia pada 24 Jan lepas telah memulakan penanaman bawang merah MARDI BAW-1 di kawasan seluas satu hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak," kata beliau dalam hantaran Facebook miliknya.

Mohamad berkata krisis bekalan bawang yang berlaku pada 2020 akibat bencana banjir besar di India telah menyebabkan kenaikan harga bawang di pasaran lebih 30 peratus daripada RM6 kepada RM8 sekilogram.

Sebelum ini, ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024, beliau berkata kementeriannya akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri bawang tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: