1MDB: Mahkamah akan tentukan - Hakim

Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengingatkan semua pihak bahawa mahkamah yang akan membuat keputusan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kesnya.

Perkara itu timbul selepas peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin menyoal balas Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Ariffin, 37, mengenai satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Wan Azwan Aiman kemudian menjelaskan bahawa soalan itu perlu dikemukakan kerana pembelaan cuba memastikan sama ada Nur Aida, yang juga pegawai penyiasat kes, sememangnya telah menyiasat empat unsur dalam pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib membantah soalan itu atas alasan bahagian itu dalam pertuduhan adalah selaras dengan Seksyen 23(2) Akta SPRM kerana terdapat anggapan bahawa Najib telah menyalahgunakan kuasanya.

Peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian bangun dan berhujah bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya adalah salah serta bertindih dan perkara itu akan dibangkitkan oleh pembelaan di akhir kes pendakwaan yang dijangka berakhir tidak lama lagi.

"Saya tidak mahu kami dituduh tidak membangkitkan perkara ini.

"Isu membabitkan semua pertuduhan akan menjadi sebahagian besar daripada hujahan kami.

"Pertuduhan adalah salah serta bertindih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada peringkat ini, Sequerah mengarahkan kedua-dua pihak agar memasukkan perkara itu dalam hujahan mereka dan mengingatkan bahawa ia terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen dalam pertuduhan, bukannya pegawai penyiasat SPRM berkenaan.

Sementara itu, kepada soalan lain yang dikemukakan oleh Wan Azwan Aiman, Nur Aida yang juga saksi pendakwaan ke-49 mengesahkan bahawa beliau tidak menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika menjalankan siasatan dalam kes 1MDB.

Perkara itu tidak dilakukan meskipun laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 April 2016 antara lain mengesyorkan agar pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan mereka yang berkaitan dengan 1MDB.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!