Projek solar: Mahkamah dengar rayuan Rosmah 23 Oktober

Rosmah Mansor. Foto Bernama
Rosmah Mansor. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendengaran rayuan Datin Rosmah Mansor terhadap sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah di Mahkamah Rayuan ditetapkan selama dua hari bermula 23 Oktober depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan 23 dan 24 Oktober tahun ini untuk pendengaran rayuan ketika pengurusan kes yang dijalankan di hadapannya hari ini.

Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, ketika dihubungi mengesahkan kepada Bernama tarikh perbicaraan itu.

Dalam pengurusan kes hari ini, Rosmah diwakili Akberdin dan Datuk Jagjit Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai hadir mewakili pihak pendakwaan.

Akberdin memberitahu Bernama, bahawa beliau memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar bahawa pada hari pendengaran rayuan itu, mereka mahu mahkamah mendengar terlebih dahulu rayuan Rosmah berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menolak permohonannya (Rosmah) untuk menggugurkan hakim itu (Mohamed Zaini) daripada mendengar kesnya.

Permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan dijangka diumumkan berdasarkan alasan kononnya "penghakiman kes didakwa bocor".

Akberdin juga memberitahu Bernama, bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.

Pada 1 September lepas, Hakim Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Rosmah, 72, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun. Dia juga didenda RM970 juta dan jika Rosmah gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara 30 tahun.

Dia didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. - Bernama