Fenomena trend, cabaran 'berbahaya' kepada anak bawah 13 tahun - CMCF

Trend, cabaran antara sebab anak bawah 13 tahun tidak boleh miliki akaun media sosial. Gambar hiasan
Trend, cabaran antara sebab anak bawah 13 tahun tidak boleh miliki akaun media sosial. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Penularan fenomena trend dan cabaran antara sebab utama golongan ibu bapa perlu memastikan anak-anak di bawah usia 13 tahun tidak boleh memiliki sebarang akaun media sosial.

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) berkata, ia kerana cabaran yang sering disertai pengguna media sosial mampu menimbulkan risiko kepada kanak-kanak untuk ada perasaan takut ketinggalan serta ingin menjadi tular.

Selain itu menurutnya, media sosial berkemungkinan memberi tekanan kepada anak-anak kerana belum matang dan tidak pandai mengawal emosi berikutan melihat kandungan yang kurang bersesuaian sehingga mengakibatkan kesan negatif terhadap perkembangan psikologi.

“Dari segi privasi dan keselamatan peribadi, kanak-kanak lebih cenderung berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di media sosial kerana belum memahami bahaya serta risiko yang bakal timbul.

“Ini boleh membuka pintu kepada pencerobohan privasi atau perkongsian maklumat kepada orang yang berniat jahat.

“Tanpa pengawasan yang betul, mereka boleh menjadi mangsa kepada aktiviti tidak selamat seperti penipuan, keganasan siber atau pergaulan yang memudaratkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak di bawah usia 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun media sosial.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, jika ada antara mereka memiliki akaun Facebook, X, TikTok atau Instagram, pihaknya akan menutup akaun media sosial berkenaan.

Mengulas lanjut, CMCF menyahut seruan SKMM untuk bertindak sedemikian kerana ia juga sejajar dengan pendirian yang diambil kebanyakan platform media sosial.

Dalam pada itu, CMCF turut menyarankan agar ibu bapa dan penjaga memastikan anak-anak hanya diberikan akses kepada peranti serta kandungan Internet dengan pengawasan yang sewajarnya.

“Kami ingin menggalakkan ibu bapa untuk menyedari risiko dan bahaya di media sosial terutamanya kanak-kanak.

"Penting untuk mereka berkomunikasi secara terbuka tentang langkah keselamatan yang perlu diambil,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!