Jurutera awam didakwa kerana menipu kelulusan bayaran kursus

Tertuduh, Fadziyani Mohamed diiringi pegawai SPRM selepas mendengar pendakwaan terhadapnya pada Isnin.
Tertuduh, Fadziyani Mohamed diiringi pegawai SPRM selepas mendengar pendakwaan terhadapnya pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang Jurutera Awam Kanan J48 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menipu dan bersubahat meluluskan pembayaran kursus latihan pada 2018.

Tertuduh, Fadziyani Mohamed, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Ketua Unit Tentera, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Kem Lapangan Sungai Petani ketika kejadian didakwa bersubahat dengan Pengurus Syarikat Genius Intellect Services, Mohd Aswad Hamzah untuk menipu Jabatan Akauntan Negara.

Tertuduh secara tidak jujur menipu Pembantu Akaun, Mohd Ashari Abdul Wahab untuk meluluskan pembayaran yuran perkhidmatan Kursus Latihan Kakitangan Kursus Pemasangan Penyaman Udara bernilai RM19,950 kepada Syarikat Genius Intellect Services pada 31 Mei 2018 di Pejabat Jabatan Akauntan Negara, Kota Setar.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Norazam Majid.

Zulfadli meminta mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 ke atas tertuduh yang kini bertugas di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur, berikutan kesalahan yang dilakukannya adalah serius dan membabitkan kepentingan awam.

Selepas mendengar rayuan, Jean Sharmila kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 berserta seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga perlu menyerahkan passport antarabangsanya dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28