Selisih faham punca OKU disimbah air panas - Polis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

GEORGE TOWN - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca insiden seorang lelaki Sindrom Down disimbah air panas ketika berada di dalam lif sebuah pangsapuri di Jalan Rajawali di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan mendapati perselisihan faham antara wanita itu dan mangsa berlaku pada empat tahun lalu atas isu sensitif.

Menurutnya, kedua-dua mereka tinggal di satu blok yang sama dan mereka mungkin mengenali antara satu sama lain.

"Dakwaan yang mengatakan suspek menghidapi masalah mental kita rasa tidak ada, namun pemeriksaan sedang dijalankan.

"Setakat ini polis telah merekodkan keterangan tiga orang termasuk mangsa bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kejadian seorang lelaki Sindrom Down melecur pada bahagian badan disyaki akibat disimbah air panas ketika berada di dalam lif sebuah pangsapuri di Jalan Rajawali di sini pada Jumaat.

Wanita berumur 39 tahun itu ditahan pada jam 9.21 malam Sabtu di kawasan pangsapuri terbabit.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!