'Anak tidak benarkan saya ikut ke laut' - Ibu

Ibu kepada nelayan yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, Kota Bharu pada Ahad mendedahkan anak lelakinya tidak membenarkan dia ikut sama untuk turun ke laut.
Ibu kepada nelayan yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, Kota Bharu pada Ahad mendedahkan anak lelakinya tidak membenarkan dia ikut sama untuk turun ke laut.
A
A
A

KOTA BHARU - Ibu kepada nelayan yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, di sini pada Ahad mendedahkan anak lelakinya tidak membenarkan dia ikut sama untuk turun ke laut.

Rosiah Zainalabdin, 46, berkata, sebelum itu dia beberapa kali merayu kepada Mohd Nor Sharif Mat Nasir, 28, untuk temankan anak ketiga daripada lima beradik itu menangkap ikan.

Menurutnya, hal ini kerana suami, Mat Nasir Jusoh, 70, tidak dapat turun ke laut bersama Mohd Nor Sharif pada sebelah petang.

"Sebelum kejadian dia sudah ke laut pada sebelah pagi bersama ayahnya.

"Mereka pulang sekitar jam 1 petang untuk makan tengah hari dan solat. Kemudian dia keluar semula seorang diri.

"Saya tawarkan diri untuk menemani dia, tapi tidak diizinkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurut dia, sehinggalah sekitar jam 6.50 petang mereka sekeluarga menerima perkhabaran mengatakan bot milik Mohd Nor Sharif ditemukan di tepi pantai tetapi dia tiada bersama.

Ujarnya, Mohd Nor Sharif juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Demit 1 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh bulan.

Artikel Berkaitan:

Rosiah memberitahu, anaknya itu tinggal di Binjal bersama isterinya, Mas Ruskhairusy Syakireen Isyqi Ishak, 26, tetapi sering berulang alik ke rumah keluarga di Kampung Baru, Pantai Mek Mas kerana membantu ayahnya turun ke laut.

"Kami sekeluarga berdoa dan berharap Mohd Nor Sharif selamat.

"Sekarang ini kami berada di lokasi untuk sama-sama mengikuti operasi pencarian dan menyelamat," katanya.

Sinar Harian melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, Kampung Kedai Buloh di sini pada Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kanan I Che Mazlan Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.15 malam dan seramai tujuh anggota termasuk pegawai telah ke lokasi.

"Setiba di lokasi pihak kami mendapati sebuah bot telah terdampar di tepi pantai bersama barangan milik mangsa," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!