Pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin kekal - Duta Malaysia ke Turkiye

Penduduk Palestin melihat struktur di kawasan kejiranan al-Daraj di Bandar Gaza yang musnah dibedil rejim Zionis. Gambar fail
Penduduk Palestin melihat struktur di kawasan kejiranan al-Daraj di Bandar Gaza yang musnah dibedil rejim Zionis. Gambar fail
A
A
A

ISTANBUL - Pendirian tegas Malaysia dalam isu melibatkan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk di Gaza, Palestin kekal di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal, perkara ini jelas berdasarkan interaksi berterusan Perdana Menteri mengenai isu itu bersama beberapa pemimpin utama dunia.

"Perdana Menteri kita telah berinteraksi dengan pelbagai pemimpin negara termasuk Presiden Amerika Syarikat (Joe Biden) untuk menggesa beliau supaya menggesa pihak Israel menghentikan keganasan ini dengan serta merta.

"Saya rasa itulah motivasi tertinggi yang kita ada dan saya rasa kita semua mendukung motivasi tersebut,” katanya dalam satu pertemuan bersama delegasi Malaysia yang menyertai misi "Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla” di sini pada Ahad.

Selain itu, Sazali berkata, peranan Turkiye di bawah kepimpinan Presiden, Recep Tayyip Erdogan juga senada dengan Malaysia dalam menangani isu ini.

Namun kesepakatan pemimpin utama dunia juga amat diperlukan kerana masih banyak pemimpin dalam kalangan negara-negara kuasa besar yang terus menerus tidak memperdulikan isu itu.

"Pendiriannya adalah sama dengan pendirian Kerajaan Malaysia dan juga pendirian negara-negara lain yang menyokong kedaulatan diberikan kepada rakyat Palestin, keganasan dihentikan dengan serta merta.

Beliau (Erdogan) juga tidak pernah berhenti untuk melaungkan usaha tersebut supaya Israel menghentikan keganasan dan membenarkan saluran bantuan kemanusiaan dibekalkan dan disampaikan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Artikel Berkaitan:

"Cuma masalah terbesarnya adalah kuasa-kuasa besar yang banyak melindungi rejim Israel dan membekalkan mereka dengan motivasi supaya mereka meneruskan keganasan,” katanya.

Sazali berkata demikian sebagai rmengulas seruan Ahli Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright yang menggesa pemimpin dunia tampil menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla.

Ini kerana katanya, sokongan dan kerjasama pemimpin dunia penting dalam memastikan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk di Gaza dapat dihentikan segera.

Malah katanya dengan penyatuan kesemua pemimpin dunia, ia dilihat mampu mendesak kepada satu usaha jitu dalam menjayakan gencatan senjata yang berkekalan bagi membolehkan segala keperluan penyaluran bantuan ke Gaza dapat direncanakan sebaiknya.

Delegasi Malaysia ketika ini menyertai masyarakat awam antarabangsa melakukan pelayaran menaiki flotila untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi "Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu.

FFC sebelum ini mengesahkan tiga kapal yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini dijangka akan memulakan pelayaran pada Rabu (24 April). - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28