Freedom Flotilla ke Gaza: Aktivis Malaysia berlepas ke Istanbul

Aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla berlepas ke Istanbul, Turki pagi ini. Foto Astro AWANI
Aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla berlepas ke Istanbul, Turki pagi ini. Foto Astro AWANI
A
A
A

SEPANG - Aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla berlepas ke Istanbul, Turki pagi ini.

Kesemua 19 anggota rombongan itu terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Misi kemanusiaan ini bersatu di bawah gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang turut meliputi aktivis dari seluruh negara antaranya Turki, Kanada, Itali, Australia, Norway, Afrika, Sweden.

Menurut Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, harapan tinggi semoga misi ini berjalan lancar disandarkan kesemua anggota misi kemanusiaan dari Malaysia.

Sehubungan itu, Dr Kamal Nasharuddin mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mengiringi perjalanan bantuan kemanusiaan ini dengan doa.

“Kami mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan misi ini agar bantuan yang dibawa sampai ke perairan Gaza.

“Objektif utama MyCARE menyertai misi flotilla ke Gaza adalah untuk membawa harapan masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan bangsa dalam usaha untuk membebaskan Palestin daripada penindasan Zionis Israel,” kata beliau kepada Astro AWANI ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Dalam misi Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla ini, sebanyak tiga buah kapal termasuk sebuah kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang akan berlepas ke perairan Gaza.

Artikel Berkaitan:

Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans.

Wartawan Astro AWANI, Syaff Shukri dan jurukamera, Ab Uzza Latif turut serta dalam misi ini dan akan membawakan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!