PM pentingkan pembangunan rakyat - BN Kedah

Mahdzir (dua dari diri) melayan tetamu yang hadir ke Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Padang Terap pada Ahad.
Mahdzir (dua dari diri) melayan tetamu yang hadir ke Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Padang Terap pada Ahad.
A
A
A

PADANG TERAP - Barisan Nasional (BN) Kedah menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin mementingkan pembangunan rakyat apabila bersedia mengadakan perjumpaan rasmi dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor biarpun kerajaan negeri diketuai pembangkang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Anwar mengambil pendekatan untuk hadir ke negeri ini bagi sambutan Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri Madani dan perjumpaan rasmi tersebut biarpun Sanusi banyak ‘menyerang’ melalui kenyataan-kenyataannya sebelum ini.

Menurutnya, Ahli Parlimen Tambun itu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan untuk diuruskan berbanding sempadan politik yang boleh menjelaskan pembangunan negara ini.

“Semua orang tahu Menteri Besar Kedah dalam banyak kenyataannya memang menyerang Anwar secara peribadi dan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Jadi ini langkah yang sangat baik (Perdana Menteri hadir ke Kedah) sebab kalau nak kira ucapan politik (Sanusi), kalau geram dan ikut emosi mungkin (Perdana Menteri) tak datang.

“Perdana Menteri ambil pendekatan untuk datang ke taklimat itu. Ini sifat pemimpin yang tidak melihat sempadan apabila nak melihat pembangunan rakyat walaupun di negeri pembangkang,” katanya pada sidang media akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Aidilfitri UMNO Bahagian Padang Terap di sini.

Jelas Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah, Perdana Menteri turut bersikap terbuka mengadakan pertemuan itu di Wisma Darul Aman walaupun mempunyai pilihan untuk program rasmi itu diadakan di Bangunan Persekutuan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Beliau mahu dengar daripada kerajaan negeri apakah hasrat mereka yang nak membantu rakyat Kedah dalam sektor-sektor yang ada di negeri ini seperti pertanian, industri, perikanan, padi atau pun infrastruktur,” katanya.

Pada Khamis, media melaporkan, Sanusi memaklumkan akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri yang berkunjung ke negeri ini pada 4 Mei depan sempena kehadiran ke Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri Madani.

Menurutnya, beliau akan menyerahkan satu senarai berkaitan hasrat kerajaan negeri untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam pertemuan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!