Cubaan seludup arak guna MPV dari Forest City gagal

Peralatan digunakan memproses arak oleh sindiket di sebuaj rumah teres di Skudai dirampas JKDM Johor.
Peralatan digunakan memproses arak oleh sindiket di sebuaj rumah teres di Skudai dirampas JKDM Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cubaan tiga lelaki menyeludup minuman keras tidak bercukai dari Forest City gagal selepas kegiatan terbabit dikesan dan ditahan sepasukan anggota Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematahuan), Datuk Sazali Mohamed berkata, tangkapan sekitar jam 10 malam pada Isnin lalu itu dibuat hasil maklumat orang awam.

"Ketika serbuan, anggota telah mengejar tiga buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan berjaya menahan kenderaan tersebut di sekitar Lebuhraya Iskandar Puteri dan Jalan Utama Kampung Baru Senai.

Sazali ( kanan) menunjukkan minuman keras tidak bercukai yang cuba diseludup keluar dari Forest City.
Sazali ( kanan) menunjukkan minuman keras tidak bercukai yang cuba diseludup keluar dari Forest City.

"Hasil pemeriksaaan mendapati kesemua kenderaan tersebut membawa muatan penuh minuman keras yang ditutup menggunakan kain hitam.

"Pemandu kenderaan membabitkan dua lelaki tempatan berusia 20-an dan 30-an berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor pada Ahad.

Menurut Sazali, sebanyak 14,400 tin minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM143,325 dan tiga MPV menggunakan pendaftaran palsu, disita.

Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor pada Ahad.
Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menggunakan kenderaan persendirian untuk melakukan kegiatan menyeludup keluar minuman keras dari Forest City pada waktu malam.

"Dua suspek yang ditahan telah dilepaskan di bawah Seksyen 116(5) Akta Kastam 1967 dengan wang jaminan RM10,000 setiap individu. Usaha mengesan pemilik kenderaan turut giat dilakukan," ujarnya lagi.

Sementara itu, JKDM Johor berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjadikan rumah teres di Skudai sebagai lokasi pembuatan arak sekitar jam 1 petang, pada 2 April lalu.

"Sewaktu serbuan, premis didapati berkunci dan tidak berpenghuni. Hasil pemeriksaan menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenama tidak berkastam dan melanggar peruntukkan Akta Kastam 1967.

"Pasukan turut menjumpai sejumlah tong drum berisi cecari disyaki alkohol, botol- botol kosong, penutup botol, kotak kosong, label jenama minimun, setem Kastam palsu dan alatan memproses dan membotol minuman keran dipercayai melanggar Akta Eksais 1976," katanya.

Jelasnya, usaha mengesan pemilik premis sedang giat dilakukan.

"Kesemua arak tidak bercukai dianggarkan bernilai RM153,111 bersama peralatan pembuatan arak haram bernilai RM5,000 telah dirampas," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28