6 termasuk Orang Asli ditahan jual rokok seludup, minuman keras

Wan Jamal (dua dari kanan) bersama pegawai kastam menunjukkan minuman keras dan rokok yang dirampas.
Wan Jamal (dua dari kanan) bersama pegawai kastam menunjukkan minuman keras dan rokok yang dirampas.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan enam individu termasuk seorang Orang Asli dan warga India kerana disyaki menjual rokok seludup serta minuman keras di sekitar Gua Musang.

Kesemua mereka yang berusia 30-an hingga 50–an itu ditahan dalam Ops Label Palsu antara tempoh 11 hingga 13 Disember lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, turut dirampas dalam operasi itu sejumlah 825 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM130,000, 279 liter minuman keras (RM6,423) dan sebuah kenderaan klon jenis Honda Odyssey (RM40,536).

Wan Jamal (kiri) bersama pegawai menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Wan Jamal (kiri) bersama pegawai menunjukkan rokok seludup yang dirampas.

Menurut beliau, keseluruhan rampasan dalam operasi itu berjumlah RM176,257.

“Kami menahan enam lelaki termasuk seorang Orang Asli dan seorang warga India untuk siasatan lanjut.

“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan menjual rokok seludup dan minuman keras secara bersembunyi di premis-premis kedai di Lojing serta Paloh,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM di sini, pada Selasa.

Minuman keras yang dirampas untuk siasatan lanjut.
Minuman keras yang dirampas untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, hasil siasatan dan keterangan suspek, barangan tanpa cukai itu dijual kepada pekerja-pekerja ladang di sekitar kawasan berkenaan dan juga Cameron Highlands.

Katanya, siasatan masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan, sama ada dagangan tersebut dibawa masuk melalui jalan laut atau dari negeri-negeri di sebelah barat Semenanjung Malaysia.

“Hasil siasatan awal ke atas kenderaan tersebut pula mendapati kenderaan itu dibawa dari Singapura melalui jalan darat serta dijual ke pasaran tempatan.

Wan Jamal Abdul Salam (tengah) memeriksa kenderaan yang dirampas.
Wan Jamal Abdul Salam (tengah) memeriksa kenderaan yang dirampas.

“Kes yang melibatkan rokok dan kenderaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala kes melibatkan minuman keras disiasat di bawah Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976,” katanya.

Menurut beliau, warga India tersebut direman selama 14 hari sehingga 26 Disember depan, manakala lima lagi dibebaskan masing-masing dengan jaminan antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap seorang.