Sindiket pemalsuan slip kad UNHCR didalangi lelaki Rohingya tumpas

Ruzaana (dua dari kiri) menunjukkan barangan dirampas ketika sidang media di Pejabat JIM Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.
Ruzaana (dua dari kiri) menunjukkan barangan dirampas ketika sidang media di Pejabat JIM Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan slip kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) selepas menahan seorang lelaki Rohingya semasa Ops Sapu di Kampung Changgal, Pasir Puteh pada Jumaat.

Operasi yang dilakukan pada jam 10 malam itu turut menahan seorang lagi lagi lelaki Rohingya berusia 30-an kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan), Ruzaana Mohamed berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun itu dipercayai terlibat dengan sindiket mengeluarkan slip permohonan kad UNHCR palsu sejak tiga tahun lalu dengan upah RM2,000 setiap satu slip.

Imigresen Kelantan berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan slip kad UNHCR selepas menahan seorang lelaki Rohingya semasa Ops Sapu di Kampung Changgal, Pasir Puteh pada Jumaat.
Imigresen Kelantan berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan slip kad UNHCR selepas menahan seorang lelaki Rohingya semasa Ops Sapu di Kampung Changgal, Pasir Puteh pada Jumaat.

"Semasa pemeriksaan dijalankan di dalam rumah yang disewa itu telah menemui dua unit komputer riba, peti besi dan wang berjumlah RM140,000.

"Hasil pemeriksaan isi kandungan komputer riba milik suspek mendapati ada dokumen slip permohonan kad UNHCR yang dipercayai akan digunakan untuk mendapatkan kad tersebut secara tidak sah dan teratur," katanya semasa sidang media di Pejabat JIM Kelantan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, suspek utama itu didapati menetap di Malaysia dengan menggunakan kad UNHCR yang sah.

Ujarnya, suspek juga mengaku pemilik komputer riba dan wang tunai itu ditahan apabila dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55 D Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55 Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak JIM Kelantan turut menahan seorang lelaki dan tiga wanita Rohingya kerana telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Lingkungan umur bagi warga asing yang ditahan itu adalah di antara 20 hingga 30 tahun.

"Kesemua warga asing dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut beliau, JIM menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang asing tapa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

Ujarnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!