PRK Kuala Kubu Baharu: Boikot hanya rugikan MCA, MIC sendiri

Gulam Muszaffar (kiri), Laporan Sinar Harian.
Gulam Muszaffar (kiri), Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan MIC dan MCA yang tidak mahu terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya kerusi itu tidak ditandingi calon parti komponen Barisan Nasional (BN) hanya merugikan mereka sendiri.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, tindakan tersebut juga bakal menjauhkan lagi kedua-dua parti itu dengan masyarakat India dan Cina, selain menonjolkan sikap tidak matang.

"Hukum dan adat politik adalah mesti relevan dan mempunyai angka undi yang baik untuk berpeluang memenangi setiap pilihan raya yang diadakan. Perangai dan sifat MCA dan MIC untuk menjauhkan diri dari pilihan raya sebenarnya merugikan mereka sendiri.

"Untuk UMNO, kita tidak rugi sesen pun sebab bukan 'niche market' kita. Percayalah sekiranya dasar ini berterusan buat MCA dan MIC lambat laun mereka akan menjadi seperti Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) yang akan hilang dari radar dan landskap politik Malaysia.

"Masyarakat Cina dan India tidak langsung akan rindu atau dambakan sentuhan mereka lagi. Pandangan peribadi saya, MCA dan MIC kena belajar dari strategi dan gerak kerja Bossku (Datuk Seri Najib Razak) walaupun tidak bertanding tetapi membantu kempen parti BN untuk menang di setiap PRK, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Itu sepatutnya. Kalau sikap mereka tak berubah, jangan terkejut Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) boleh anggap 'bye-bye' buat MCA dan MIC. Kita tunggu dan lihat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA pada Jumaat dilapor memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

MIC sebelum ini turut membuat keputusan sama dengan alasan serupa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Gulam Muszaffar berkata, kedua-dua parti komponen BN itu sepatutnya menerima keputusan yang dibuat pucuk pimpinan dengan hati terbuka

Ini kerana katanya, sesetengah keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN bukan bermaksud untuk 'membunuh' tetapi menyelamatkan mereka dari terus ditikam berulang kali.

"Cuba ambil positif dengan keputusan yang dibuat dengan merawat semula luka-luka tikaman yang parah ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Salah satu cara rawatannya yang terbaik adalah kembali menyantuni masyarakat Cina dan India, masa yang terbaik adalah waktu kempen pilihan raya." katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!