Agihan peruntukan biar telus, bukan bersyarat

Razman
Razman
A
A
A

BAGAN SERAI - Agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang seperti dicadangkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan perlu dilakukan secara telus dan bukan bersyarat.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, peruntukan bersyarat yang ditetapkan itu hanya mencerminkan pendirian dan sikap kerajaan yang tidak adil di mata rakyat.

"Jika nak buat cerita, beri tekanan dengan alasan untuk menggambarkan bahawa wakil rakyat pembangkang ini tidak boleh beri perkhidmatan kepada rakyat berikutan tiada peruntukan, rasanya itu satu tindakan salah.

"Mungkin rakyat akan bertindak balas lebih teruk daripada itu kerana sebelum ini, kita nampak politik matang, tetapi sekarang seperti berpatah balik ke belakang ketika zaman penindasan," katanya ketika ditemui sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol di sini pada Jumaat.

Razman menyantuni pengunjung yang hadir ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol, Bagan Serai pada Jumaat.
Razman menyantuni pengunjung yang hadir ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol, Bagan Serai pada Jumaat.

Ketua Pembangkang DUN Perak itu mengakui menyambut baik langkah saluran peruntukan terbabit, bagaimanapun mahu mekanismenya dipermudah agar dapat membantu wakil rakyat bukan kerajaan berkhidmat.

"Di pihak pembangkang khususnya Pas, kita dah biasa guna duit poket sendiri, namun jika ada peruntukan itu, sangatlah dialu-alukan," katanya.

Beliau berkata, dalam perkembangan politik matang ketika ini rakyat sentiasa menilai prestasi dan peranan kerajaan terutama yang terkait isu menjaga dan meningkatkan kebajikan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Memang menjadi wakil rakyat terutama di pusat khidmat jadi tumpuan apa juga masalah dihadapi rakyat.

"Daripada cermin mata pecah, anak masuk sekolah, ibu bapa sakit masuk hospital hinggalah tanaman padi tak menjadi, semua jumpa dengan wakil rakyat.

"Kalau tidak ada peruntukan, sukar untuk kita beri perkhidmatan kepada semua masalah ini," katanya.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Sehubungan itu, Fadillah berkata, satu draf memorandum persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!