Letusan Gunung Ruang jejas ruang udara, penutupan lapangan terbang dilanjutkan

Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus lima kali dan menghamburkan abu setinggi lebih 1 kilometer ke udara. Foto AFP
Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus lima kali dan menghamburkan abu setinggi lebih 1 kilometer ke udara. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Letusan Gunung Ruang di Wilayah Sulawesi Utara terus menjejaskan ruang udara pada Jumaat, memberi kesan kepada keselamatan penerbangan, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia.

Letusan itu yang bermula pada Selasa, menyebabkan penutupan sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di Manado pada Khamis, kira-kira 95 kilometer dari Gunung Ruang.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata, penutupan lapangan terbang itu dilanjutkan sehingga hari ini, dari jam 6 pagi hingga 7 malam waktu tempatan, berikutan abu gunung berapi boleh dilihat sehingga ke daerah Minahasa Utara.

Setakat jam 11 malam Khamis, Pelabuhan Tagulandang beroperasi bagi usaha pemindahan penduduk dan pengagihan bantuan kepada mangsa yang terjejas di pusat pemindahan sementara yang terletak 15 kilometer dari Gunung Ruang.

Pihak berkuasa tempatan telah memindahkan 272 keluarga atau 838 individu dari Kampung Laingpatehi dan Kampung Pumpente di Pulau Tagulandang, katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Muhari menegaskan, usaha pemindahan diteruskan untuk komuniti di pulau itu dan mereka yang berada dalam radius enam kilometer dari pusat kawah aktif gunung berapi berkenaan.

Pemindahan segera digalakkan untuk bersedia menghadapi batu gunung, aliran piroklastik dan tsunami yang berpunca daripada runtuhan bahan gunung ke laut.

Artikel Berkaitan:

"Gunung Ruang masih kelihatan hari ini, walaupun separuh terhalang oleh kabus. Kawah utama mengeluarkan asap putih dengan intensiti sederhana hingga tebal sehingga 100 meter dari puncak gunung,” kata Abdul Muhari. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28