Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejak pergerakan Wall Street

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, menjejaki kenaikan kukuh berterusan di Wall Street dengan didorong pembelian semasa harga murah susulan penjualan baru-baru ini.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.35 mata kepada 1,490.96 daripada 1,487.61 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

FBM KLCI dibuka 0.99 mata lebih tinggi kepada 1,488.60.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 299 berbanding 161, manakala 356 kaunter tidak berubah, 1,404 kaunter tidak diniagakan dan 19 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 531.69 juta unit bernilai RM203.24 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata susulan kenaikan kukuh berterusan di Wall Street, Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 26 mata atau 0.07 peratus pada Jumaat lepas, manakala Nasdaq menambah 14 mata atau 0.1 peratus.

"Di Asia, indeks-indeks utama ditutup bercampur-campur apabila penjualan saham teknologi di Hong Kong berterusan dan pasaran hartanah yang lembap memberi tekanan terhadap saham hartanah.

"Akibatnya, Indeks Hang Seng merosot 111 mata atau 0.66 peratus,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Thong berkata, di peringkat tempatan, pihaknya menjangkakan pembelian saham tempatan berterusan, didorong sokongan kukuh daripada dana asing dan sentimen pasaran yang bertambah baik, walaupun tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti pengambilan untung.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran berjulat 1,485 hingga 1,495 hari ini,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB masing-masing menambah dua sen kepada RM9.08, RM4.35 dan RM6.02 manakala Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM7.24 dan Tenaga Nasional turun dua sen kepada RM10.48.

Bagi saham aktif, Ta Win, Minetech Resources dan Fitters Diversified masing-masing naik setengah sen kepada 4.5 sen, 22 sen dan enam sen manakala Hong Seng Consolidated turun setengah sen kepada 2.5 sen dan MQ Technology mendatar pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 64.48 mata kepada 15,124.35, Indeks FBMT 100 naik 29.76 mata kepada 10,774.13, Indeks FBM Emas Syariah menambah 21.96 mata kepada 11,254.10, Indeks FBM Emas menokok 32.16 mata kepada 11,129.38 manakala Indeks FBM ACE susut 6.19 mata kepada 5,432.08.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.62 mata kepada 177.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 59.45 mata kepada 16,641.78, Indeks Perladangan menambah 7.85 mata kepada 7,038.77, Indeks Tenaga menokok 3.62 mata kepada 843.44 dan Indeks Hartanah meningkat 7.54 mata kepada 933.30. - Bernama