Harimau Muda tak ambil iktibar

Jasurbek Jaloliddinov tenang menyempurnakan penalti untuk meletakkan Uzbekistan di hadapan pada awal permainan. Foto: FB FAM
Jasurbek Jaloliddinov tenang menyempurnakan penalti untuk meletakkan Uzbekistan di hadapan pada awal permainan. Foto: FB FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Muda disifatkan tidak belajar daripada kesilapan pada perlawanan persahabatan apabila terus bermurah hati menyedekahkan penalti kepada lawan ketika aksi pembukaan Kumpulan D Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) menentang Uzbekistan pada Rabu.

Jurulatih berpengalaman Wan Jamak Wan Hassan berkata, kecuaian melakukan kekasaran dalam kotak penalti itu seharusnya tidak dilakukan oleh pemain negara terutama dalam perlawanan penting.

Menurutnya, ia juga menunjukkan para pemain tidak fokus dengan situasi dalam kawasan berbahaya negara seperti yang berlaku ketika melepaskan tiga penalti dalam perlawanan persahabatan menentang China dan Qatar baru-baru ini.

"Dalam situasi perlawanan penting, saya percaya jurulatih sudah berpesan kepada pemain apabila berada dalam kotak penalti, kena berhati-hati ketika buat hadangan.

"Pemain sendiri sudah tahu dan mereka kena sentiasa berwaspada sebelum membuat sebarang tindakan dalam kawasan penalti.

"Kalau buat tindakan terburu-buru, inilah yang berlaku dan kita tewas dengan gol-gol mudah," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha tersebut skuad muda negara tewas 0-2 kepada juara edisi 2018 itu sekali gus bermula langkah kiri dalam kejohanan tersebut.

Namun, apa yang menjadi perhatian di sebalik kekalahan tersebut mengenai dua gol yang dilihat terlalu mudah dilepaskan skuad negara.

Artikel Berkaitan:

Salah satunya adalah penalti yang dihadiahkan selepas pemain muda negara, Syahir Bashah menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov dalam kotak penalti seawal minit ke-11.

Ia sekali gus menjejaskan rentak pasukan sepanjang perlawanan selain turut sekali lagi bolos hasil kesilapan hantaran membolehkan Ulugbek Khoshimov menggandakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Dalam pada itu, Wan Jamak mengharapkan skuad Harimau Muda dapat bangkit dalam dua baki perlawanan menentang Vietnam dan Kuwait.

"Mereka perlu memperbaiki kelemahan hantaran, pertahanan dan cara mencorakkan permainan. Buktikan mampu beri yang lebih baik daripada perlawanan pertama," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28