[VIDEO] Banjir kilat terus jadi igauan ngeri penduduk Meru

A
A
A

KLANG - Kejadian banjir kilat yang melanda kawasan Meru, di sini terus menjadi igauan ngeri bagi penduduk yang terjejas.

Mariam (dua dari kiri) ketika membuat tinjauan di kawasan banjir kilat di Persiaran Hamzah Alang pada Rabu.
Mariam (dua dari kiri) ketika membuat tinjauan di kawasan banjir kilat di Persiaran Hamzah Alang pada Rabu.

Penduduk mengakui penat untuk memindahkan barang ke tempat lebih selamat setiap kali hujan lebat melanda.

Gopal Alimuttu, 43, dari Taman Bayu, Jalan Mempari 12, Meru berkata, banjir kerap berlaku terutamanya apabila hujan lebat berterusan melanda.

Gopal
Gopal

“Kami dah penat angkut barang, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) ambil tindakan segera.

"Setiap kali hujan lebat kami terpaksa hadapi perkara ini dan mengharapkan bantuan selepas menanggung kerugian," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Gopal yang ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Klang menambah, ini merupakan kejadian banjir kilat pertama yang berlaku tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Kawasan di sekitar Meru dilanda banjir kilat pada Selasa.
Kawasan di sekitar Meru dilanda banjir kilat pada Selasa.

“Banjir kali ini tidak seteruk Disember tahun lalu tapi tetap memberikan kesan kepada kami sekeluarga dan penduduk di kawasan taman kami," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Rani Kaliaperumal, 49, berkata, kejadian banjir kilat kali ini lebih dahsyat sebab dalam masa dua jam rumah mereka sudah dinaiki air.

Rani
Rani

"Kerugian sudah kerap kali ditanggung dan kali ini keluarga saya terpaksa mengalami perkara yang sama dan berpindah ke PPS,” katanya.

Dia mengakui penduduk pernah membuat aduan kepada agensi kerajaan berkaitan, namun tindakan yang diambil masih belum cukup untuk mengatasi masalah banjir kilat.

"Longkang dan parit di beberapa kawasan tersumbat, air tak dapat mengalir keluar dengan sempurna. Saya harap isu ini dipandang serius semua pihak," luahnya.

Petugas kebersihan membuang longgokan sampah yang tersumbat dalam longkang di laluan utama Jalan Meru pada Khamis.
Petugas kebersihan membuang longgokan sampah yang tersumbat dalam longkang di laluan utama Jalan Meru pada Khamis.

Seramai 272 mangsa daripada 77 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Sungai Binjai setakat jam 1 tengah hari, Khamis.

Pada Selasa, beberapa kawasan di sekitar Meru dilanda banjir kilat antaranya kawasan Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan dan Taman Daya serta Taman Bayu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid ketika ditemui mengakui masalah perparitan tersumbat menjadi antara faktor menyebabkan banjir kilat.

Mariam
Mariam

"Perkara ini perlu diselesaikan sebagai satu penyelesaian jangka pendek dan apa yang saya lihat ialah selenggara parit atau longkang ini tidak boleh mengikut jadual waktu musim monsun.

"Sebelum ini saya diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sama ada di Klang atau Petaling bahawa penyelenggaraan saliran ini hanya dilakukan mengikut musim atau pun hampir monsun," katanya.

Beliau menambah, penyelenggaraan longkang perlu dilakukan lebih kerap oleh semua pihak terlibat dan Majlis Bandaraya Diraja Klang juga perlu bersikap proaktif dan agresif dalam hal itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!