Suami dituduh bunuh teman lelaki isteri

Tertuduh, Tanabalan didakwa membunuh teman lelaki isterinya dalam kejadian 5 April lalu.
Tertuduh, Tanabalan didakwa membunuh teman lelaki isterinya dalam kejadian 5 April lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pekerja kilang didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis atas pertuduhan membunuh teman lelaki isterinya awal April lepas.

D Tanabalan, 42, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bapa dua anak itu didakwa membunuh S Sundararaj, 32, di tepi Jalan Taman Dato' Nazri Langkap dalam daerah Hilir Perak jam lebih kurang 6.30 petang sehingga 8 malam pada 5 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret T Ashvinii menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes, bagi serahan laporan forensik dan kimia.

Siasatan awal polis mendapati, berlaku pergaduhan antara tertuduh dengan mangsa berpunca daripada cemburu kerana mangsa dipercayai mengganggu isterinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: