Di sebalik kesesakan jalan raya, muncul orang baik hulur bantuan

Antara perkongsian yang dikongsi menerusi Facebook Pasir Mas.
Antara perkongsian yang dikongsi menerusi Facebook Pasir Mas.
A
A
A

SHAH ALAM - Di sebalik kisah orang ramai yang 'tersangkut' dalam kesesakan lalu lintas ketika pulang dan kembali dari kampung halaman sempena Aidilfitri, terselit pelbagai lagi cerita indah.

Antaranya yang dikongsi oleh pengguna media sosial di sebalik kejadian kesesakan luar biasa itu, munculnya individu bermurah hati menghulurkan tangan membantu pengguna yang menghadapi kesulitan.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook Pasir Mas, orang ramai menghulurkan bantuan meskipun tidak mengenali pihak yang dibantu, malah ia turut dilakukan secara percuma.

"Di laluan Pantai Penarik, Terengganu, alhamdulillah ada mak cik yang sedekahkan potongan buah timun (tembikai) kepada pengguna kereta yang menghadapi jalan sesak," katanya.

Dalam pada itu, di Tanah Merah, Kelantan pula, penduduk kampung di kawasan berkenaan menyediakan nasi gulai kawah untuk diagihkan kepada pengguna kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan.

"Nasi dan lauk itu disediakan oleh orang kampung kepada perantau yang sedang terkandas untuk pulang ke utara. Alhamdulillah, terbaik, semoga dipermudahkan segala urusan," katanya.

Tersentuh dengan perkongsian berkenaan, seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Lan Tan Kama berkata, budi pekerti yang ditonjolkan oleh mereka yang membantu tanpa mengharapkan balas disifatkan sebagai mulia.

"Baiknya hati budi orang Melayu, Islam, di Malaysia ini. Ikhlasnya lihat muka mak cik yang memberi dan penerima, senang hati melihatnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian juga pernah memaparkan kisah bagaimana kebaikan penduduk Cina di Perak yang membantu orang Melayu menerusi pembukaan jalan baharu bagi memudahkan mereka pulang ke ibu kota.

Ada juga pemilik rumah yang bermurah hati membenarkan penggunaan tandas di rumahnya secara percuma.
Ada juga pemilik rumah yang bermurah hati membenarkan penggunaan tandas di rumahnya secara percuma.

Tidak terhenti di situ, ada juga pemilik rumah yang bermurah hati membenarkan penggunaan tandas di rumahnya secara percuma.

Sementara itu, menurut pengguna Facebook yang dikenali sebagai Ahmad Zulfahmi yang mengumpulkan keratan hantaran mengenai perkara itu berkata, ramai rakyat Malaysia yang masih memiliki sifat yang baik.

"Ada yang bagi buah tembikai, ada yang bagi air, tunjukkan jalan, ada yang bagi ruang ke tandas rumah.

"Kebaikan, rentas negeri, rentas ras dan agama, Malaysia masih punya orang-orang baik!" katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!