Sukma sudah tidak sepopular era 90-an

Sekitar awal dan pertengahan 90-an, acara Sukan Malaysia atau Sukma amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia. Foto fail Bernama
Sekitar awal dan pertengahan 90-an, acara Sukan Malaysia atau Sukma amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia. Foto fail Bernama
A
A
A

SEKITAR awal dan pertengahan 90-an, acara Sukan Malaysia atau Sukma amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia.

Bukan sahaja orang dewasa, malah kanak-kanak juga tercegat di hadapan kaca televisyen bagi menantikan acara kegemaran mereka.

Sudah tentu, acara balapan terutamanya 100 meter (m) lelaki menjadi perhatian.

Sebut sahaja Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim, siapa yang tidak kenal dengan ikon 100m dari Sarawak dan Pahang ini?

Pertembungan serta persaingan sengit dua jaguh pecut ini menjadi simbol kecemerlangan serta semangat atlet olahraga negara pada era tersebut.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, populariti Sukma didakwa sudah tidak segah dahulu.

Malah, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa Sukma edisi ke-21 itu diadakan di Sarawak.

Bukan itu sahaja, tinjauan di media sosial mendapati tidak ramai yang bercakap tentang Sukma kali ini, apatah lagi ‘berperang’ negeri mana yang bakal menjuarai kutipan pingat.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengecewakan apabila dua acara iaitu, futsal wanita dan terjun 10m platform wanita terpaksa digugurkan daripada Sukma kali ini kerana kurang jumlah penyertaan.

Ini kerana, mengikut peraturan sedia ada sesebuah acara sukan memerlukan sekurang-kurangnya enam negeri yang bertanding untuk diteruskan.

Apa pun, penganjuran Sukma masih dilihat masih relevan dan kompetitif untuk melahirkan atlet pelapis yang mencapai prestasi tertinggi dalam sukan negara.

Kejayaan beberapa atlet muda yang mewakili negeri masing-masing sehingga berjaya memecah rekod kebangsaan membuktikan bahawa mereka mampu untuk mencapai prestasi di peringkat yang lebih tinggi.

Sukma dianjurkan buat kali pertama pada 1986 di Kuala Lumpur dan dilihat sebagai medan mencungkil bakat baharu yang bakal mewakili kem negara di pentas antarabangsa.

Apa yang penting, bagi menarik semula minat orang ramai terhadap Sukma, banyak ruang yang boleh diperbaiki termasuk tarikh penganjuran agar lebih ramai dapat hadir ke venue pertandingan sepanjang kejohanan berlangsung.

Jadi untuk edisi akan datang, pihak penganjur perlu lebih proaktif untuk mempromosikan Sukma agar ia menjadi acara sukan yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia sama seperti di era 90-an dahulu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28