Terumbu karang seluruh dunia kian terancam

Peristiwa sama pernah dilaporkan pada 1998, 2010 dan 2016.
Peristiwa sama pernah dilaporkan pada 1998, 2010 dan 2016.
A
A
A

WASHINGTON - Dunia kini sedang berdepan fenomena pelunturan terumbu karang kedua terbesar dalam tempoh sedekad.

Sistem terumbu karang dari Great Barrier Reef di Australia hingga ke Florida, Amerika Syarikat (AS) semakin terancam dek suhu lautan yang panas luar biasa selama beberapa bulan.

Ia bukan hanya memberi impak kepada ekosistem marin malah mata pencarian penduduk setempat, keselamatan makanan dan ekonomi tempatan.

Antara contoh paling jelas menunjukkan terumbu karang mengalami pelunturan.
Antara contoh paling jelas menunjukkan terumbu karang mengalami pelunturan.

Tekanan haba yang ekstrem atau berpanjangan menjejaskan jangka hayat terumbu karang dan keadaan itu hanya akan pulih jika suhu menurun dan faktor lain penangkapan ikan secara berleluasa serta pencemaran dapat dikurangkan.

“Apabila suhu lautan dunia panas berterusan, pelunturan terumbu karangan akan menjadi lebih kerap dan teruk. Keadaan suhu sedemikian akan menjejaskan daya ketahanan dan jangka hayatnya,” kata Derak Manzello di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).

Pemantauan tekanan haba NOAA adalah berdasarkan data satelit sejak 1985 hingga kini.

Keadaan pelunturan terbaharu itu adalah fenomena keempat pernah direkodkan selepas keadaan membimbangkan sama dilaporkan pada 1998, 2010 dan 2016.

Artikel Berkaitan:

Ia berlaku apabila air laut terlalu panas hingga menyebabkan terumbu karang terpaksa menyingkirkan alga yang hidup secara simbiotik dan ia kemudiannya bertukar warna putih.

Kesan itu dipanggil 'pelunturan' yang mengakibatkan ia terdedah kepada persekitaran tidak sihat dan berisiko musnah.

IMPAK BAHAYA PERUBAHAN IKLIM

Kemusnahan terumbu karang akan memberi impak besar kepada hidupan marin.
Kemusnahan terumbu karang akan memberi impak besar kepada hidupan marin.

Sejak awal 2023, fenomena tersebut telah disahkan di seluruh kawasan tropika.

Tanda amaran pertama dikesan di Carribean apabila suhu air di luar pantai Florida agak hangat seperti di dalam tab mandi panas.

Haba itu kemudiannya berpindah ke hemisfera selatan dan kini menjejaskan lebih separuh terumbu karang di seluruh dunia termasuk Tanzania, Mauritius, Brazil, Kepulauan Pasifik, Laut Merah dan Teluk Parsi.

Great Barrier Reef yang merupakan sistem terumbu karang terbesar di dunia dan boleh dilihat dari angkasa lepas turut terjejas teruk.

“Kita sedia maklum perubahan iklim adalah ancaman terbesar kepada terumbu karang. Great Barrier Reef juga tidak terkecuali,” ujar Menteri Alam Sekitar Australia, Tanya Plibersek, baru-baru ini.

Great Barrier Reef digelar sebagai struktur hidup terbesar di dunia yang menjadi habitat biodiversiti menakjubkan di kawasan sepanjang 2,300 kilometer.

Peristiwa pelunturan secara berulang telah mengancam ekosistem tersebut yang sebelum ini turut menjadi tarikan utama pelancong.

Dianggarkan, seramai 850 juta penduduk seluruh dunia bergantung kepada terumbu karang untuk sumber pendapatan, makanan dan melindungi pesisir pantai daripada ancaman ribut serta hakisan.

Ia menjadi 'syurga' kepada hidupan marin dan menjadi habitat kepada lebih satu perempat spesies akuatik.

NOAA menganggarkan dunia telah kehilangan kira-kira 30 hingga 50 peratus terumbu karang dan ia berisiko lenyap sepenuhnya menjelang akhir abad ini.

Skala dan tahap keterukan pelunturan terumbu karang secara besar-besaran adalah bukti jelas tentang kesan bahaya perubahan iklim yang sedang berlaku kepada bumi.

NOAA bagaimanapun mengambil langkah segera bagi mencegah kemusnahannya termasuk memindahkan tapak semaian karang ke kawasan perairan lebih dalam antara 30-50 meter dari permukaan dan turut menggunakan pelindung matahari bagi melindungi sistem itu di kawasan lain.

Sejak Ogos lalu, purata suhu lautan global dilaporkan memecahkan rekod sepanjang masa dan ia berterusan melebihi purata hampir setiap hari. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28