Warga emas digilis treler dalam perjalanan ke masjid

Seorang warga emas maut digilis sebuah treler selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya di Jalan Gangsa, Mergong di sini pada Rabu.
Seorang warga emas maut digilis sebuah treler selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya di Jalan Gangsa, Mergong di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Lelaki warga emas yang maut digilis treler dalam kemalangan di Jalan Gangsa, Mergong di sini pada Rabu dipercayai dalam perjalanan ke masjid untuk mengaji al-Quran selepas membeli ubi di Pasar Borong Alor Setar.

Anak sulung mangsa yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib, 51, berkata, ketika kejadian bapanya, Abdul Mutalib Abdullah, 76, menunggang motosikal jenis Honda EX-5.

Beliau berkata, bapanya dipercayai keluar membeli ubi kerana ibunya, Tom Ibrahim, 68, membuat cucur dan berniaga kuih di hadapan rumah mereka di Kampung Kubang Teduh, mukim Gunong sejak dirinya masih bersekolah lagi.

"Difahamkan, arwah ayah sudah membeli ubi namun dia tinggalkan dulu di pasar berkenaan kerana hendak ke masjid tidak jauh dari lokasi kejadian untuk belajar mengaji.

"Setiap hari, ayah akan pergi ke masjid berbeza sama ada untuk belajar mengaji ataupun solat jemaah," katanya kepada pemberita ketika ditemui Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),di sini, pada Rabu.

Syeikh Radzi (duduk, tengah) ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini pada Rabu.
Syeikh Radzi (duduk, tengah) ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini pada Rabu.

Anak sulung daripada tujuh adik beradik itu memberitahu, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika Hari Raya Aidilfitri dan kali terakhir mereka bertemu ketika dia singgah di rumah orang tuanya pada Selasa.

Beliau berkata, dia juga sempat membeli pasembor kegemaran bapanya pada waktu rehat dan arwah berbual seperti biasa dengan dirinya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Syeikh Radzi, arwah bapanya juga kelihatan gembira menyambut kepulangan anak cucu beraya di kampung ketika sambutan Aidilfitri minggu lepas.

Menurut beliau, disebabkan itu, dia terkejut dan tidak menyangka apabila menerima maklumat tentang kejadian menimpa bapanya.

Tambahnya, dia pada mulanya menyangka bapanya hanya terbabit dalam kemalangan biasa dan terus ke Jabatan Kecemasan HSB untuk melakukan semakan.

"Bagaimanapun,saya dimaklumkan nama bapa tiada di situ sebelum ke Hospital Lama Alor Setar kerana menyangka mungkin bapanya dihantar ke hospital itu.

"Bagaimanapun, bapa juga tiada di sana dan saya terus terus ke lokasi kejadian di Jalan Gangsa, Mergong untuk melihat apa yang berlaku," katanya.

Syeikh Radzi berkata, dia kemudiannya menyedari bapanya telah meninggal dunia apabila menerima ucapan takziah dalam aplikasi WhatsApp kumpulan rakan sekolahnya.

Menurutnya, jenazah bapanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Teduh selepas solat Isyak pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas maut digilis sebuah treler selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya di Jalan Gangsa, Mergong di sini pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, mangsa merupakan lelaki warga emas disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di badan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!