Penyeludup petrol cuba langgar anggota PGA

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berdepan detik cemas selepas cuba dilanggar oleh penyeludup yang menaiki kereta semasa melakukan pemeriksan di Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Selasa.
Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berdepan detik cemas selepas cuba dilanggar oleh penyeludup yang menaiki kereta semasa melakukan pemeriksan di Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Selasa.
A
A
A

TUMPAT - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berdepan detik cemas selepas cuba dilanggar oleh penyeludup yang menaiki kereta semasa melakukan pemeriksaan di Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor di sini pada Selasa.

Kejadian yang berlaku pada jam 7.10 pagi itu berlaku semasa anggota Strike Force Kompeni A sedang membuat rondaan bermotosikal di sekitar kawasan Kuala Jambu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, semasa rondaan, pengadu telah ternampak sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dari arah jambatan Pulau Ular menghala ke Kampung Tualang.

"Melihat kepada situasi itu, anggota tersebut bertindak mengejar untuk menahan kereta terbabit sebelum ia berhenti di bahu jalan di kawasan lapang berhampiran Pos Kampung Pulau Ular.

"Anggota yang turun dari motosikal menghampiri kereta bagi tujuan pemeriksaan, namun secara tiba-tiba suspek bertindak mengundurkan kenderaan secara melulu ke arah anggota," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, satu das tembakan telah dilepaskan ke arah tayar belakang sebelah kanan kereta terbabit bagi tujuan memberhentikan kenderaan dan meminimakan ancaman ke atas nyawa anggota, namun suspek bertindak meneruskan pemanduan.

Ujarnya, suspek melarikan diri sebelum kereta tersebut dijumpai ditinggalkan satu kilometer dari tempat kejadian pertama.

Mohd Khairi memberitahu, usaha mengesan pemandu dibuat namun gagal dipercayai telah melarikan diri ke arah kawasan belukar berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut telah menemukan 22 tong plastik berisi minyak petrol yang dipercayai hendak diseludup ke negara jiran.

"Kenderaan dan tong plastik berisi petrol telah dirampas dan dibawa balik ke Komtek Kuala Jambu untuk tindakan lanjut," katanya.

Ujar beliau, siasatan telah dijalankan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, dalam siasatan yang dijalankan ke atas kereta yang dirampas, pihak polis menemukan satu sarung tangan warna hitam di alas kaki tempat pemandu, tiga kesan cap jari pada cermin penumpang hadapan kenderaan selain satu kesan tembakan pada rim tayar belakang sebelah kanan kereta.

"Siasatan awal mengesahkan bahawa pemilik asal kenderaan berada di Johor dan usaha mengesan dan menangkap suspek sedang dijalankan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28