[VIDEO] Dua kali ditangkap khalwat, janda didenda RM4,000, enam sebatan

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita berstatus janda dihukum enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada Rabu selepas disabitkan kesalahan berkhalwat kali kedua di sebuah rumah di Kemaman pada Januari lalu.

Tertuduh, berusia 37 tahun yang bekerja sebagai juruwang itu turut didenda RM4,000 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2022.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama pasangannya ditahan berkhalwat ketika serbuan oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sebuah rumah di Taman Geliga, Kemaman sekitar jam 3.15 petang pada 31 Januari lalu.

Tertuduh (kiri) ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas kesalahan khalwat pada Rabu.
Tertuduh (kiri) ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas kesalahan khalwat pada Rabu.

Hasil siasatan oleh pihak penguat kuasa mendapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri atau mahram.

Sebelum ini tertuduh pernah dihukum denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar denda setelah disabitkan melakukan kesalahan sama di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada 28 Januari 2018.

Sementara itu, pasangan lelaki yang turut ditahan bersama tertuduh akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 23 April depan bagi kesalahan kali pertama melibatkan khalwat.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada Rabu atas kesalahan berkhalwat.
Tertuduh (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada Rabu atas kesalahan berkhalwat.

Untuk rekod, hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat hari ini merupakan kes pertama di Terengganu yang melibatkan pesalah khalwat perempuan mengikut pindaan undang-undang Kesalahan Jenayah Takzir Terengganu pindaan 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!