Impak boikot: Produk lokal lebih baik berbanding barangan import?

Rata-rata masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai pandangan terhadap pembelian barangan import mahupun produk lokal. Gambar hiasan Bernama
Rata-rata masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai pandangan terhadap pembelian barangan import mahupun produk lokal. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

SEBELUM ini, pembelian barangan import dan berjenama antarabangsa merupakan pilihan utama kebanyakan rakyat di Malaysia, bagaimanapun trend itu dilihat semakin berubah selepas gerakan boikot yang dilakukan oleh semua pihak susulan konflik kemanusiaan antara rejim Israel dan penduduk Gaza di Palestin yang masih berlarutan.

Perkara tersebut telah menggubah corak perbelanjaan rakyat Malaysia, malah beberapa premis makanan dan minuman keluaran antarabangsa turut menerima implikasi buruk terhadap aktiviti boikot yang dilaksanakan sejak 7 Oktober 2023.

Di sebalik aktiviti boikot ini, hasilnya kini beberapa produk keluaran tempatan mula mendapat perhatian malah semakin popular kerana barangan yang dihasilkan setanding dengan kualiti barangan import.

Perkembangan tersebut telah membuka ekonomi domestik secara positif dan membawa perubahan besar terhadap permintaan produk lokal.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai pandangan terhadap pembelian barangan import mahupun produk lokal.

SOKONG

Barangan lokal tawar harga lebih murah

Saya lebih suka membeli barangan lokal kerana harganya lebih murah dan berpatutan terutama untuk ahli keluarga yang ramai.

Artikel Berkaitan:

Selalunya saya sering membeli makanan dan pakaian daripada jenama tempatan yang mana lebih mudah untuk didapati di semua pasar raya mahupun kompleks membeli-belah.

Siti Nor Asyikin Din
Siti Nor Asyikin Din

Walaupun pakaian jenama tempatan lebih murah berbanding jenama antarabangsa tetapi standard kualitinya hampir sama.

Kalau pakaian saya rasa lebih murah sebab standard kualitinya tidak kalah macam beli barangan jenama import yang lain.

Tetapi setakat ini produk keluaran tempatan seperti makanan, penjagaan diri dan alat solek daripada mana-mana produk keluaran tempatan adalah jauh lebih baik pada masa gerakan memboikot barangan antarabangsa masih giat dijalankan.

- Bekerja sendiri, Siti Nor Asyikin Din, 28

Produk lokal kini setanding barangan import

Gerakan memboikot beberapa jenama antarabangsa telah membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai mengenai produk keluaran lokal yang selama ini tidak diketahui.

Nur Izzatul Idayu
Nur Izzatul Idayu

Kebanyakan produk jenama lokal juga sudah setaraf keluaran import malah kualitinya juga turut lebih baik sehingga membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai mencuba barangan tempatan.

Kelebihan memilih barangan lokal terutama pakaian kerana mereka menawarkan saiz masyarakat Asia berbanding import yang mana sukar untuk mencari ukuran baju bagi mereka yang bertubuh kecil.

Saya suka membeli barangan lokal jadi apabila berlaku gerakan boikot tidak memberi kesan kepada saya, malah saya gembira kerana banyak jenama tempatan menawarkan produk berkualiti dengan pelbagai tawaran hebat.

- Guru, Nur Izzatul Idayu Mohd Ammar Choo, 25

BANGKANG

Produk import berkualiti, tahan lasak

Pembelian barangan import yang sudah menjadi sebahagian cara hidup dan saya sukar untuk menukar produk sedia ada kepada jenama lain.

Pada pandangan saya barangan daripada jenama antarabangsa bukan sahaja berkualiti tetapi tahan lasak, perkara itu yang membuatkan ramai rakyat di negara ini masih bergantung terhadap barangan import.

Muhammad Affizy Shaari
Muhammad Affizy Shaari

Saya sedar terdapat banyak produk alternatif boleh digunakan tetapi barangan import tetap menjadi pilihan utama kerana stigma barangan lokal yang kurang berkualiti menyebabkan ramai berasa kurang yakin untuk membelinya.

Barangan seperti pakaian, aksesori rumah mahupun produk penjagaan diri dari luar negara lebih mudah didapati sama ada di kedai mahupun secara dalam talian.

Pada pandangan saya, semua pihak berhak untuk membeli barangan lokal atau import kerana semuanya bergantung dengan diri sendiri dan kuasa beli.

- Pembantu pensyarah, Muhammad Affizy Shaari, 30

Lebih banyak pilihan dengan harga berpatutan

Saya lebih suka membeli barangan import tetapi bergantung kepada jenis barangan yang dibeli.

Kebanyakan barangan seperti pakaian, makanan dan juga kesihatan daripada jenama antarabangsa lebih banyak pilihan dengan harga berpatutan.

Walaupun terdapat gerakan memboikot sesetengah barangan dari luar negara oleh pelbagai pihak, namun pandangan saya ia bergantung kepada keadaan individu itu.

Kanessha Rama Krishnan
Kanessha Rama Krishnan

Saya lebih memilih barangan import kerana kualitinya setimpal dengan harga malah kadangkala kami tiada pilihan lain selain membeli produk itu kerana tiada alternatif lain.

Pada pandangan saya, boikot masih bersifat subjektif kepada setiap individu yang mempunyai pandangan berbeza menyebabkan masih terdapat sebahagian rakyat di negara ini terpaksa menggunakan produk import sedia ada.

- Pegawai perhubungan awam, Kanessha Rama Krishnan, 28

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28