Muhyiddin ucap takziah kepada Ismail Haniyeh

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang kehilangan tiga anak lelaki dan empat cucunya akibat terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Beliau turut mendoakan agar ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan memberi ganjaran syahid di atas kematian tersebut.

Menurutnya, ketabahan dan keberanian keluarga Ismail amat dikagumi dalam menghadapi dugaan yang besar.

“Dalam kenyataannya, beliau (Ismail) berkata tidak akan berganjak daripada memperjuangkan hak rakyat Palestin walaupun ahli keluarganya sendiri menjadi sasaran serangan dan gugur syahid.

“Tindakan menjadikan ahli keluarga pemimpin Hamas termasuk kanak-kanak sebagai sasaran serangan adalah perbuatan terkutuk rejim Zionis yang tidak boleh dimaafkan.

“Genosid yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin mesti dihentikan segera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ismail kehilangan tiga anak lelakinya iaitu Hazen, Amir dan Muhammad serta beberapa cucu akibat terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Baru-baru ini, media antarabangsa memaklumkan, sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober 2023, lebih 33,360 rakyat Palestin terbunuh dan 75,993 cedera.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, serangan balas yang dilakukan Iran ke atas fasiliti ketenteraan Israel merupakan suatu amaran keras kepada negara rejim Zionis dan sekutunya bahawa kezaliman akan dibalas dengan kekerasan.

“Tindakan Iran ini diharap dapat mengekang Israel daripada melakukan keganasan secara berterusan di Gaza dan wilayah yang didudukinya.

“Saya mendoakan keselamatan rakyat Palestin dan semoga rejim terkutuk Zionis tersungkur rebah dikalahkan oleh pejuang-pejuang mujahidin Palestin,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28