Kesedihan Nurul Izzah terubat dengan bayangan debut Sukan Olimpik

Nurul Izzah Izzati
Nurul Izzah Izzati
A
A
A

BINTANG muda berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, mengakui kesedihan tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana menyertai kejohanan antarabangsa, terubat selepas secara tidak rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 20 tahun itu yang sebelum ini disasarkan layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) berkata, perkhabaran mengesahkan slot di Paris 2024 dalam acara keirin dan pecut itu sangat bermakna, apabila ia bakal menjadi debut beliau, selain merupakan pencapaian terbesarnya setakat ini.

"Saya rasa raya tahun ini terubat, kiranya saya pergi tak balik tangan kosong, ada hasil walaupun saya dapat tempat kelapan tetapi ia sangat bermakna, sebab saya pun tak pernah lepas pusingan awal.

"Ini juga salah satu pencapaian terbesar yang saya dapat,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya dari kejohanan kejohanan Piala Negara-negara UCI di Milton, Kanada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.

Semalam, Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan, tiga atlet berbasikal trek negara diketuai Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah, secara tidak rasmi layak ke Paris.

Menurut Amarjit, perkara itu berdasarkan kepada kutipan mata dipungut ketiga-tiga atlet itu dan senarai rasmi dijadual akan dihantar kepada semua Jawatankuasa OIimpik Kebangsaan (NOC), bulan ini.

Kejayaan layak ke Paris 2024 sekali gus menjadikan Nurul Izzah pelumba wanita Malaysia kedua beraksi di Sukan Olimpik selepas bekas jaguh negara Fatehah Mustapa dan muncul pelumba wanita negara pertama beraksi dalam dua acara iaitu keirin dan pecut di temasya sukan berprestij itu.

"Impian di Paris, untuk cuba berikan lebih baik daripada apa yang saya buat di Milton dan saya harap boleh perbaiki catatan masa dalam acara pecut. Bagi saya Olimpik satu langkah besar dan penting (dalam karier),” kata Nurul Izzah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan, John Beasley berkata, penampilan di Paris akan menjadi persediaan terbaik buat Nurul Izzah, menghadapi cabaran pada LA28.

"Beliau berada dalam projek LA28, beliau akan ke Paris untuk pendedahan dan pengalaman. Beliau seorang pelumba berpotensi tinggi dan seusia dengan Datuk Azizulhasni ketika namanya mula meningkat.

"Mereka berdua hampir serupa, kecil dan hebat. Kami berikan beliau pendedahan yang beliau perlukan dan sekarang ia mula memberikan keputusan positif. Tiada harapan tinggi untuk Izzah di Paris, jika beliau boleh menang pingat ia sesuatu yang baik, tetapi sasaran kami ialah Sukan Olimpik 2028,” kata jurulatih dari Australia itu.

Nama Nurul Izzah mula menarik perhatian selepas menggondol dua emas masing-masing dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa pada kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di India, Februari lepas.

Pada kejohanan Piala Negara-negara UCI di Milton dari 12 hingga 14 April lepas, Nurul Izzah terkandas di pusingan pertama dalam acara pecut dan meraih tempat kelapan dalam acara keirin selepas mara sehingga ke final bagi tempat ketujuh hingga ke-12.

Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!