UTHM mahu lahir ramai pakar aeroangkasa

No Image Caption
A
A
A

BATU PAHAT - Apabila kerajaan mengumumkan pembangunan pusat aeroangkasa global di Subang, Selangor pada Belanjawan 2019, ia disambut baik oleh ramai pemain industri dan para akademik di universiti penyelidikan termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini.

Pembangunan pusat tersebut di atas tanah seluas 32.37 hektar pada tahun ini itu, dilihat sebagai satu perkembangan baik dalam bidang aeroangkasa, yang kini menjadi satu daripada bidang pengajian yang diberi perhatian oleh universiti berkenaan.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) UTHM Prof Madya Dr Shahruddin Mahzan@Mohd Zin berkata pihaknya turut berharap agar universiti itu dapat terlibat secara langsung dalam usaha kerajaan itu.

Katanya, ini kerana UTHM sendiri merupakan satu daripada pusat pengajian tinggi yang mempunyai program pengajian membabitkan teknologi penerbangan selain Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Namun kelebihan kepada UTHM ini, kami merupakan satu-satunya pusat pengajian tinggi di negara ini serta di Asia Tenggara yang mempunyai ‘lesen’ berkaitan kursus pengendalian pesawat yang pelajar berpeluang belajar secara teori serta praktikal.

“Malah, UTHM merupakan satu daripada empat universiti di dunia selain di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia yang menawarkan program pengajian tersebut. Sebab itulah kami berharap agar dapat terlibat dalam ‘projek’ kerajaan ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau yakin hab aeroangkasa yang bakal dibangunkan itu bukan sahaja berkaitan pembangunan teknologi tetapi turut mampu melahirkan pakar tempatan dalam bidang penerbangan.

Shahruddin berkata di UTHM, mereka mempunyai empat kursus berkaitan dengan teknologi penerbangan di peringkat sarjana muda dan satu kursus di peringkat sarjana.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kursus berkenaan ialah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penerbangan Profesional), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyelenggaraan Pesawat), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Kawalan Trafik Udara), Sarjana Muda Teknologi Pembuatan Pesawat dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Penerbangan.

“Amat bersesuaianlah jika UTHM dapat terlibat sama atau setidak-tidaknya menjalin kerjasama untuk pembangunan aeroangkasa di negara ini, sekali gus kami turut dapat menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan dalam sektor penerbangan ini.

“Selain mempunyai lima kursus berkaitan, kami juga bercita-cita untuk meneroka bidang penerbangan ini secara 360 darjah atau daripada A hingga Z, baik pekerja am sehinggalah meneroka teknologi baharu.

“Untuk pengetahuan umum, kini kami sedang giat dalam usaha membina lapangan terbang sendiri untuk penyelidikan dan pendidikan yang bakal dibina di Tanjung Laboh, Batu Pahat yang dijangka bermula tahun ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, apabila siap sahaja lapangan terbang tersebut yang terletak di tanah seluas 108 hektar itu, pelbagai kursus berkaitan akan diwujudkan termasuklah kru kabin, seperti sarjana muda untuk pramugari dan pramugara.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, FKMP UTHM, Dr Mohammad Fahmi Abdul Ghafir berkata UTHM mempunyai sekitar 130 pelajar dalam kursus berkaitan bidang penerbangan sejak ia bermula pada tahun 2010.

Katanya, 20 pelajarnya telah menamatkan pengajian dan kini berkhidmat di pelbagai syarikat penerbangan di dalam dan luar negara, selain kini pihaknya sedang menjalankan kerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat berkaitan.

“Antara rakan strategik kami untuk melahirkan graduan berkaitan sektor penerbangan ini adalah Malaysia Airlines, Malaysia Flying Academy, HM Aerospace dan untuk penyelenggaraan adalah Malaysian Aviation Training Academy (MATA).

“Malah, penglibatan kami dalam melahirkan modal insan dalam sektor penerbangan ini turut mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang mana baginda turut berkenan mengurniakan kami sebuah pesawat untuk tujuan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran iaitu pesawat daripada jenis Lake Renegade LA-270,” katanya.

Menurutnya, beliau turut menyokong cadangan yang diutarakan oleh Dekan FKMP UTHM agar universiti itu boleh terlibat secara langsung dan menerima manfaat dalam usaha kerajaan membangunkan sektor penerbangan.

Jelas Mohammad Fahmi lagi, selain melahirkan dan bakal menyediakan modal insan dalam bidang penerbangan, pihaknya kini juga sedang dalam penyelidikan dan penghasilan sebuah ‘drone gergasi’. Katanya, kelainan drone berkenaan ialah ia tidak membawa alat perakam seperti kamera foto dan kamera video semata-mata tetapi mampu membawa manusia sebagai penumpang.

“Sekiranya berjaya, drone berkenaan akan digunakan untuk aktiviti riadah, yang mana penumpangnya dapat merasai sendiri pengalaman di udara dan bukannya melihat pemandangan berkenaan melalui skrin serta kamera sahaja.

“Inilah yang seperti dikatakan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik iaitu teknologi yang dihasilkan bukannya digunakan untuk mengaut keuntungan dan bermegah-megah tetapi ia dapat dipulangkan semula untuk kegunaan serta kemudahan orang ramai," katanya. - Bernama