Cadang laksana Aliran Transit Automasi, tangani kesesakan di JB

Onn Hafiz (kiri) melakukan pembayaran tambang bas menerusi kad TNG pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama Antara Malaysia dan Singapura Melalui Tambak Johor di pekarangan Mall of Medini, Iskandar Puteri hari ini. Foto Bernama
Onn Hafiz (kiri) melakukan pembayaran tambang bas menerusi kad TNG pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama Antara Malaysia dan Singapura Melalui Tambak Johor di pekarangan Mall of Medini, Iskandar Puteri hari ini. Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Projek sistem Aliran Transit Automasi (ART) dilihat mampu mengatasi kesesakan di Johor Bahru yang kini semakin kritikal.

Kerajaan Johor mencadangkan pelaksanaan projek sistem ART Bertingkat bagi mengatasi kesesakan di pusat bandar raya ini yang semakin kritikal.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ART menjadi antara cadangan kerajaan negeri dan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menurut beliau, cadangan terbabit juga sudah disampaikan kepada kerajaan Persekutuan bagi diperhalusi dan dipertimbangkan.

"Apabila Sistem Transit Rapid (RTS) beroperasi pada penghujung 2026, dijangka akan berlaku kesesakan di pusat bandar Johor Bahru.

"Dianggarkan 10,000 pengguna akan menggunakan khidmat RTS dalam tempoh sejam.

"Kerajaan negeri bimbang sekiranya tiada langkah proaktif dalam melakukan pelan penyuaraian trafik, kesesakan di pusat bandar raya ini akan menjadi lebih kritikal apabila RTS beroperasi nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Perkhidmatan Bas Elektrik Rentas Sempadan Pertama antara Malaysia-Singapura Melalui Tambak Johor di sini pada Selasa

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Sebelum itu, Onn Hafiz melancarkan bas elektrik Handal Indah Sdn Bhd, operator bas Malaysia-Singapura, sekali gus pemegang rekod Malaysia Book of Records sebagai perkhidmatan bas elektrik rentas sempadan pertama negara.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju meletakkan Johor sebagai satu daripada anggota Jawatankuasa Kabinet bagi menangani isu kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Johor sudah jadi anggota jawatankuasa kesesakan itu bertujuan bagi mengatasi dan meredakan kesesakan di Johor termasuk di pintu sempadan yang mengalami isu berkenaan.

"Kerajaan Johor serius untuk menangani kesesakan kritikal di pusat bandar raya termasuk di Jalan Skudai dan Persimpangan Bertingkat Perling dan Pasir Gudang selain sempadan kita," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28