Arsenal mahu bangkit, jadikan Bayern mangsa

Rice (dua dari kanan) mahu memastikan kebangkitan ketika menentang Bayern. Foto AFP
Rice (dua dari kanan) mahu memastikan kebangkitan ketika menentang Bayern. Foto AFP
A
A
A

ARSENAL bersedia untuk bangkit dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada Khamis selepas kekalahan mengejut kepada Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekalahan 0-2 pada Ahad lalu bagaikan bakal mengulangi detik pahit gagal memenangi EPL musim lalu walaupun The Gunners mendahului sebahagian besar saingan sebelum dipintas oleh Manchester City.

Peminat Arsenal yang sudah lama dahagakan kejuaraan EPL risau keadaan sama bakal berulang dengan City kini menduduki tempat teratas sekali lagi dan menjadi pilihan menjuarai liga kali keempat berturut-turut.

Kini Arsenal mengalihkan tumpuan ke Liga Juara-Juara apabila bertandang ke Allianz Arena dengan misi mahu kembali bangkit daripada kekalahan dan menyasarkan untuk memenangi pertemuan itu.

Pusingan pertama minggu lalu di Emirates berkesudahan 2-2 dan pasukan kendalian Mikel Arteta dijangka mengatasi juara Eropah enam kali itu ketika Bayern dalam situasi sukar selepas gagal mempertahankan kejuaraan Bundesliga yang dimenangi mereka sejak 11 tahun lalu.

“Ia adalah permainan yang sempurna untuk menunjukkan reaksi kepada kekalahan Aston Villa.

"Kami perlu menunjukkan tindak balas, ia adalah peluang yang baik untuk menunjukkan watak dan kepimpinan kami. Sudah tiba masanya untuk pergi ke sana dan berharap dapat ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

"Kami perlu meletakkan (kekalahan) di tepi kami. Ia adalah permainan bola sepak. Kami telah tewas tetapi kami perlu bangkit semula," kata pemain tengah Arsenal, Declan Rice.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, dia juga menyifatkan harapan untuk menjuarai EPL masih belum pudar dan yakin Arsenal mampu melakukannya.

"Kami tahu bahawa masanya bakal tiba. Sekarang ini masanya kami bertindak dan terus percaya melakukan apa yang kami boleh buat," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28