Sudah lali asam garam dunia guaman

A
A
A

KUALA LUMPUR - Diherdik dengan kata-kata nista dan dilabel ‘sebelah kaki sudah di neraka’ tidak mematahkan semangat seorang peguam syarie untuk terus membela nasib insan yang tidak bersalah.

Puteri Ummi Kartini Abd Latiff berkata, walaupun berat untuk menerima kritikan itu lebih-lebih lagi daripada rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut memandang serong namun dia tetap yakin sinar pasti akan muncul di penghujungnya.

Puteri Ummi Kartini (kiri) menerima penghargaan daripada rakan sekerja selepas menang satu kes rayuan.
Puteri Ummi Kartini (kiri) menerima penghargaan daripada rakan sekerja selepas menang satu kes rayuan.

Berkongsi kepada Sinar Harian, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) LLB dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bercerita pengalaman mengendalikan satu kes berprofil tinggi yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

Semua itu terjadi hampir sedekad lalu di mana ia merupakan tahun ketiga dia mengenakan jubah peguam di mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

“Ia berkisar kisah perceraian, perebutan anak-anak dan segala jenis tuntutan difailkan oleh seorang isteri.

“Tidak tahu di mana silapnya, tiada angin tiada ribut, si isteri nekad membuat laporan polis kononnya dianiaya oleh suami.

Artikel Berkaitan:

“Semua itu berlaku sebaik mereka sekeluarga pulang bercuti sedangkan di setiap sudut media sosial, pasangan suami isteri ini dilihat mesra dan bahagia,” katanya.

Bermula detik itu, beliau berkata, si bapa tidak mendapat sebarang akses untuk bertemu atau bercakap dengan anak-anak.

Puteri Ummi Kartini (kiri) bergambar bersama rakan peguamnya selepas prosiding kes selesai.
Puteri Ummi Kartini (kiri) bergambar bersama rakan peguamnya selepas prosiding kes selesai.

“Teringat kata-kata si isteri pada saya ketika itu, apabila pihak kami menang satu permohonan di hadapan hakim.

“Dia kata pada saya, ‘awak juga perempuan, sepatutnya bantu dan memperkasakan wanita, tidak malukah jadi peguam, dengan membela lelaki yang menganiaya kaum sendiri?’

“Dia cadangkan saya sepatutnya menjadi pembela kepada wanita lain,” katanya.

Namun, katanya, demi menegakkan hak anak guam, semua itu terpaksa ditelan walaupun perit untuk mendengarnya.

Puteri Ummi Kartini turut hadir dalam sidang media kes berprofil tinggi bersama barisan peguam berpengalaman.
Puteri Ummi Kartini turut hadir dalam sidang media kes berprofil tinggi bersama barisan peguam berpengalaman.

Anak jati Shah Alam, Selangor itu berkata, satu perkara yang membuatkan beliau kagum apabila anak guam tidak sedikit pun menunjukkan rasa putus asa, apatah lagi menyatakan hasrat mahu berhenti berjuang.

Berkat Ramadan lalu, katanya, perbicaraan yang sepatutnya diteruskan dengan keterangan pihak lawan, ditangguhkan kerana isteri anak guamnya bersetuju untuk berbincang dan menyelesaikan kes itu secara baik.

Puteri Ummi Kartini turut hadir dalam sidang media kes berprofil tinggi bersama barisan peguam berpengalaman.
Puteri Ummi Kartini turut hadir dalam sidang media kes berprofil tinggi bersama barisan peguam berpengalaman.

“Akhirnya kedua-dua pihak berjaya merekodkan penyelesaian dengan segala tuntutan di mahkamah digugurkan. Itulah berkat sabar dan kuasa doa, percayalah ALLAH telah memberi pada masa terbaik,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28