Lawrence Wong ikrar berikan segalanya untuk Singapura

Lawrence Wong
Lawrence Wong
A
A
A

SINGAPURA - Lawrence Wong berikrar memberikan segalanya untuk berkhidmat kepada negara ini dan rakyatnya apabila beliau secara rasmi akan melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri Keempat pada 15 Mei ini.

Lawrence, 51, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa Singapura berkata, dalam satu mesej video berikutan pengumuman tarikh penyerahan tampuk kepimpinan negara itu bahawa beliau ingin mendapatkan kepercayaan dan sokongan rakyat Singapura untuk membina bab seterusnya dalam kisah Singapura yang rakyatnya bersatu padu tanpa mengira kaum, agama dan bahasa.

"Saya menerima tanggungjawab ini dengan rasa rendah hati dan rasa kewajiban yang mendalam. Saya meminta setiap orang daripada kamu untuk menyertai saya dalam perjalanan ini. Kongsi idea, nyala rasa dan impian anda. Bekerja bersama saya dan pasukan saya. Bersama-sama kita boleh membina masa hadapan yang bersinar terang untuk semua rakyat Singapura,” katanya.

Lawrence akan mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Lee Hsien Loong pada 15 Mei.

Perdana Menteri yang baharu akan mengangkat sumpah pada jam 8 malam 15 Mei di Istana.

Lawrence yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata, beliau tidak pernah menduga untuk berkhidmat sebagai perdana menteri negara ini sewaktu kali pertama beliau dipelawa untuk menyertai politik pada 2011.

"Saya bersetuju kerana saya ingin menyumbang kepada kisah Singapura,” katanya.

Lawrence merupakan seorang penjawat awam sebelum menceburi politik dan merupakan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA).

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen (MP) Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee itu dilantik pertama kali sebagai MP pada Mei 2011.

Lawrence telah memegang jawatan di pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Perhubungan dan Penerangan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Kementerian Pembangunan Nasional dan Kementerian Pendidikan

Beliau juga mempengerusikan bersama Pasukan Petugas Pelbagai-Kementerian bagi Covid-19 dari 2020 hingga 2023, yang memantau respons Kerajaan Singapura terhadap pandemik itu.

Lawrence berkelulusan Sarjana Muda dan Sarjana Ekonomi daripada University of Wisconsin-Madison dan the University of Michigan-Ann Arbor, selain memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Awam daripada Harvard Kennedy School, Amerika Syarikat. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28