Padah pecah kereta malam raya

Seorang lelaki disyaki memecah sebuah kenderaan di kawasan parkir hotel di Pasir Penambang di Kuala Selangor dicekup polis pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Ambia) Gambar hiasan
Seorang lelaki disyaki memecah sebuah kenderaan di kawasan parkir hotel di Pasir Penambang di Kuala Selangor dicekup polis pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Ambia) Gambar hiasan
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perbuatan seorang lelaki disyaki memecah sebuah kenderaan di kawasan parkir hotel di Pasir Penambang di sini memakan diri apabila dicekup polis pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam Sabtu dipercayai dilakukan suspek yang dianggarkan berusia 20-an itu turut melibatkan kehilangan barangan berharga milik mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kes itu daripada pengadu yang juga pekerja swasta.

"Bertindak atas maklumat, lelaki yang tiada pekerjaan tetap itu diberkas di sekitar Kampung Permatang Tengah jam 3 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Ambia memberitahu, susulan penahanan itu membawa kepada rampasan satu komputer riba dan pengecasnya serta seutas jam tangan.

Jelas beliau, pihaknya sedang mengesan seorang individu iaitu rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

Katanya, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya di balai polis berdekatan bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan yang ditinggalkan terutama ketika musim perayaan ini," tegas beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28