Saya tidak berkomplot tapi Najib disabitkan bersalah - Shahrol Azral

Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Isnin, beliau tidak berkomplot dengan pihak lain untuk memanipulasi syarikat terbabit sehingga menyebabkan dana syarikat mencecah bilion ringgit disalahgunakan.
Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Isnin, beliau tidak berkomplot dengan pihak lain untuk memanipulasi syarikat terbabit sehingga menyebabkan dana syarikat mencecah bilion ringgit disalahgunakan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, beliau tidak berkomplot dengan pihak lain untuk memanipulasi syarikat terbabit sehingga menyebabkan dana syarikat mencecah bilion ringgit disalahgunakan.

Sebaliknya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah disabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta SRC malah ia disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Shahrol Azral, 54, berkata demikian ketika perbicaraan kes saman sivil AS$1.18 bilion (RM5.64 bilion) SRC International, terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil, yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Dia yang juga bekas CEO SRC International turut menafikan telah menerima faedah daripada dana yang telah diselewengkan.

"Tiada perkara yang hendak disembunyikan kerana saya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Saya tidak pernah didakwa atas kesalahan berkaitan kerugian yang dialami plaintif (SRC International) berhubung salah guna dana RM4 bilion yang diperoleh daripada pinjaman KWAP (Kumpulan Wang Persaraan)," katanya ketika disoal peguam, Harvinderjit Singh yang mewakili Najib.

Pada perbicaraan kes ini, Shahrol Azral yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman sivil itu berkata, sebelum ini pasport antarabangsanya tidak pernah dirampas oleh mana-mana pihak.

Katanya, sekatan perjalanan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen Malaysia terhadapnya hanya diketahui, ketika siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dokumen perjalanannya tidak pernah dirampas tetapi dia telah dilarang untuk ke luar negara.

SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, mendapat manfaat secara peribadi daripada dana syarikat, dan menyalahgunakan dana tersebut.

Syarikat itu menuntut ganti rugi am, teladan dan kerugian tambahan, serta faedah, kos dan relif lain yang sesuai yang diberikan oleh mahkamah.

Ia juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanahnya dan mereka menuntut Najib membayar balik kerugian RM42 juta yang mereka alami.

Najib, 71, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Perbicaraan bersambung Rabu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!