Bulat tekad bawa balik pingat dari Kuwait

Fadzli Amin (belakang, dua dari kiri) bersama pengendali skuad hoki ais negara, Mikhail Dolinin (tengah) dan pemain-pemain sebelum latihan.
Fadzli Amin (belakang, dua dari kiri) bersama pengendali skuad hoki ais negara, Mikhail Dolinin (tengah) dan pemain-pemain sebelum latihan.
A
A
A

SKUAD hoki ais lelaki negara kini membulatkan tekad bekerja keras membawa pulang pingat dari Kejohanan Hoki Ais Dunia Divisyen IV di Kuwait City, Kuwait pada 16 hingga 19 April selepas pulang tangan kosong pada dua saingan lalu.

Malah, penolong pengurus pasukan Muhd Fadzli Amin Muhd Yusoff optimis sasaran itu mampu dicapai pada penampilan ketiga kejohanan tersebut setelah menjalani persediaan rapi sejak November lalu.

“Berdasarkan komitmen tinggi pemain-pemain negara serta pelbagai program disusun barisan kejurulatihan, saya harap pemain dapat berikan persembahan terbaik di Kuwait.

“Walaupun kita kurang bernasib baik pada dua edisi lalu, namun kesemua pemain kini dilihat bersemangat memperbaiki prestasi dengan membawa pulang pingat dan seterusnya menjadi detik bersejarah buat sukan hoki ais negara," katanya ketika ditemui pada sesi latihan.

Sebagai rekod, Malaysia yang membuat penampilan sulung pada 2022 meraih tempat keempat Divisyen IV di Bishkek, Kyrgyzstan dan seterusnya dinaikkan ke Divisyen III B di Sarajevo, Bosnia and Herzegovina tahun lalu.

Namun skuad negara gagal menyerlah apabila tewas semua lima perlawanan pada Divisyen III B dengan menduduki tempat tercorot, sekali gus diturunkan kembali ke Divisyen IV tahun ini.

Dalam pada itu, Muhd Fadzli mengakui persediaan kurang rapi pasukan kebangsaan merupakan antara punca utama kegagalan mereka pada saingan di Sarajevo.

Justeru beliau berkata Persekutuan Hoki Ais Malaysia telah mengorak langkah dengan melantik Mikhail Dolinin dari Rusia sebagai ketua jurulatih pasukan hoki ais lelaki kebangsaan untuk tempoh dua tahun bermula November lepas.

Artikel Berkaitan:

Katanya pengalaman jurulatih berusia 34 tahun beraksi dalam pelbagai saingan antarabangsa sebelum ini amat ditagih pihaknya bagi meningkatkan prestasi Malaysia di pentas dunia selepas ini.

Selain Dolinin, Muhd Fadzli berkata mereka turut merekrut khidmat rakan senegaranya, Artem Bortovskiy serta warga Jepun, Kazunori Miura, yang akan bertindak sebagai pembantu jurulatih skuad negara.

Sementara itu menurutnya beliau menjangka skuad negara bakal berdepan cabaran getir dari Mongolia dan tuan rumah pada saingan empat pasukan dalam Divisyen IV yang turut disertai Indonesia.


INFO

Kejohanan Hoki Ais Dunia Divisyen IV

Jadual

16 April

Malaysia lwn Kuwait

18 April

Malaysia lwn Indonesia

19 April

Malaysia lwn Mongolia

* Semua perlawanan di Kuwait Ice Skating Rink

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28