45 kes penyakit berkaitan haba, dua kematian dicatatkan - KKM

MetMalaysia mengeluarkan amaran panas tahap kedua iaitu gelombang haba di Pokok Sena, Kedah dan 22 kawasan lain berada di tahap berjaga-jaga. - Gambar hiasan Bernama
MetMalaysia mengeluarkan amaran panas tahap kedua iaitu gelombang haba di Pokok Sena, Kedah dan 22 kawasan lain berada di tahap berjaga-jaga. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 45 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan di seluruh negara sehingga Sabtu dengan 33 kes kelesuan haba, strok haba (11) dan kejang haba (1).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, dari segi pecahan kes mengikut negeri, Kedah dan Perak mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak lapan kes, Selangor (6), Johor (5), Negeri Sembilan (5), Pahang (5), Sabah (4), Perlis (2), Pulau Pinang (1) dan Kelantan (1).

Menurut kenyataan itu, secara kumulatif, dua kes kematian akibat strok haba telah dilaporkan.

“Kes kematian pertama adalah seorang lelaki berumur 22 tahun dan kes kematian kedua adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Kelantan.

“Pada masa ini, terdapat empat kes masih mendapat rawatan di hospital iaitu satu kes strok haba dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiga lagi dirawat di wad biasa, yang terdiri daripada dua kes strok haba dan satu kes kelesuan haba.

“Kes-kes lain telah sembuh dan dibenarkan keluar. Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi melibatkan seorang lelaki berumur 24 tahun telah dimasukkan ke ICU Hospital Port Dickson semenjak 10 Mac dan telah dipindahkan ke ICU Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan pada 5 April,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran panas tahap kedua iaitu gelombang haba di Pokok Sena, Kedah dan 22 kawasan lain berada di tahap berjaga-jaga.

MetMalaysia menerusi hantaran di aplikasi X melaporkan, tahap gelombang haba itu boleh mencapai suhu maksimum harian yang melebihi 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Kawasan lain yang mengalami cuaca panas berjaga-jaga adalah Perlis, Kedah (Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Timur Laut, Kulim, Bandar Baharu, Sik, Baling dan Padang Terap) dan Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta).

Justeru, KKM menasihatkan agar semua pihak meneruskan langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak, serta aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas.

“Orang ramai juga diminta agar mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, banyakkan berteduh dan berehat lebih kerap semasa cuaca panas, memilih untuk melakukan ziarah pada waktu kurang panas atau waktu malam, terutamanya ketika mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan semasa perayaan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!