KJ selar AS, UK pantas bantu Israel berbanding konflik Gaza

KJ selar AS, UK bantu Israel tembak jatuh dron Iran.
KJ selar AS, UK bantu Israel tembak jatuh dron Iran.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelar tindakan dua negara besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang pantas menghulurkan bantuan pertahanan kepada negara Zionis itu berbanding konflik di Gaza.

Beliau berkata, enam bulan lalu, kedua-dua negara berkenaan tidak kelihatan untuk menghentikan tindakan Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin.

“Sungguh cepat apabila melibatkan pertahanan Israel. Enam bulan lalu, di manakah kalian berada untuk mengekang genosid di Gaza, Palestin?” soalnya menerusi satu hantaran di laman sosial, Instagram pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan AS dan UK yang dilaporkan membantu Israel menembak jatuh dron Iran yang melewati Jordan, Iraq serta Syria dalam serangan ke atas Zionis.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, Iran melancarkan berpuluh-puluh serangan dron terhadap Israel, bagaimanapun serangan dron itu mungkin mengambil masa beberapa jam sebelum mencapai sasarannya.

Dua sumber keselamatan di Iraq berkata, berpuluh-puluh dron telah dikesan terbang dari Iran ke arah Israel di atas ruang udara Iraq.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: