Nur Izzuddin-Sze Fei terlepas gelaran sulung di China

Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei terpaksa berpuas hati bergelar naib juara BAC di Ningbo, China pada Ahad. Foto AFP
Nur Izzuddin (kiri) dan Sze Fei terpaksa berpuas hati bergelar naib juara BAC di Ningbo, China pada Ahad. Foto AFP
A
A
A

IMPIAN beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei untuk melakar kejutan dalam saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di China pada Ahad tidak kesampaian.

Pasangan yang menghuni ranking ke-19 dunia itu terpaksa akur bergelar naib juara setelah tewas kepada Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam aksi final di Ningbo.

Dalam aksi itu, gandingan tuan rumah unggul menang set pertama 21-17, sebelum Nur Izzuddin-Sze Fei bangkit 21-15 untuk mengheret perlawanan ke penentuan set ketiga.

Aksi bertenaga pasangan negara gagal diteruskan apabila terpaksa akur kalah 10-21 untuk memberi gelaran juara kepada Wei Keng-Wang Chang.

Kekalahan itu sekali gus menggagalkan misi Nur Izzuddin-Sze Fei untuk melunaskan dendam ke atas pasangan nombor tiga dunia itu setelah tewas pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023.

Nur Izzuddin-Sze Fei mara ke pentas final pertama mereka dalam saingan BAC selepas mengenepikan cabaran rakan sepasukan yang juga beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 21-14, 21-18 dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Wei Keng-Wang Chang pula mara ke final selepas mengatasi pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-17, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kejayaan mara ke final BAC kali ini menjadi pencapaian tertinggi dalam karier Nur Izzuddin-Sze Fei mengambil kira status kejohanan yang bertaraf Super 1000.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pencapaian terbaik mereka adalah merangkul dua gelaran dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 300 iaitu Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka Amerika Syarikat 2023.

Nur Izzuddin-Sze Fei juga memastikan Malaysia mempunyai wakil di pentas final beregu lelaki sebanyak tiga kali berturut-turut selepas Aaron-Wooi Yik pada 2022 diikuti pasangan, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pada 2023.

Kali terakhir Malaysia muncul juara beregu lelaki di BAC adalah menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007 sekali gus mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka setahun sebelum itu.

Terdahulu, Nur Izzuddin-Sze Fei melakar kejutan apabila menyingkirkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada pusingan pertama menerusi kemenangan straight set 21-13 dan 21-18 dalam tempoh 44 minit.

Pada pusingan kedua pula, wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiangyu yang berada di tangga ke-11 dunia turut menjadi mangsa beregu negara itu dengan kemenangan straight set 21-13, 21-18 dalam tempoh 44 minit.

Dalam saingan suku akhir, Nur Izzuddin-Sze Fei menundukkan pasangan Taiwan yang berada di ranking ke-10 dunia, Lee Yang-Wang Chi Lin 19-21, 21-19, 21-19.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!