'Rancang perjalanan, sedia hadapi gangguan jadual penerbangan' - Wisma Putra

Wisma Putra
Wisma Putra
A
A
A

SHAH ALAM - Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Iran, Jordan, Lubnan dan Iraq agar merancang perjalanan sebaik mungkin serta bersedia menghadapi sebarang gangguan pada jadual penerbangan.

Menurutnya, kerajaan sedang memantau perkembangan di negara Timur Tengah susulan berlaku ketegangan antara Iran dan Israel ketika ini.

“Disebabkan situasi yang semakin tegang, beberapa negara termasuk Iran, Jordan, Lubnan dan Iraq telah menutup ruang udara mereka.

“Warganegara Malaysia di negara berkenaan perlu bersedia hadapi gangguan pada jadual penerbangan dan rancang perjalanan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Iran melancarkan lebih 200 dron dan peluru berpandu balistik kepada Israel, malah serangan itu dikatakan masih berterusan hingga kini.

Menurut wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan ke atas Israel adalah mengikut lunas undang-undang.

Memetik Artikel 51 Piagam PBB, Iran tegaskan republik tersebut mempunyai hak untuk mempertahankan diri susulan serangan Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.

Wisma Putra turut memaklumkan, mereka yang berada dalam kecemasan dan memerlukan bantuan boleh berhubung dengan kedutaan atau Konsulat Malaysia terdekat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, rakyat diingatkan supaya kekal berwaspada dengan situasi semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Hubungi Kedutaan Besar Malaysia Tehran, Iran di talian 98 21 880724444 manakala Amman, Jordan 962 6590 2400 dan Beirut, Lubnan 961 71 380 063 serta 964 786 497 0086 di Baghdad, Iraq.

“Kerajaan komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara Malaysia di kawasan tersebut,” ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!