Fasa terakhir tajamkan taring Harimau Muda

Senarai 23 pemain Harimau Muda yang mengalas cabaran di Piala Asia B-23 Qatar 2024.
Senarai 23 pemain Harimau Muda yang mengalas cabaran di Piala Asia B-23 Qatar 2024.
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara disifatkan berada pada tahap terbaik tiga hari sebelum sepak mula Kumpulan D Piala Asia B-23 2024 menentang Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, Rabu ini.

Persiapan lebih awal bermula dengan latihan pusat pada 17 Mac lalu sebelum ke Doha,1 April membuktikan keseriusan skuad Harimau Muda kendalian Juan Torres Garrido untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

Empat perlawanan persahabatan kompetitif menentang pasukan berprofil tinggi, India, China dan Qatar juga memberi ruang kepada pengendali dari Sepanyol tersebut memperkemaskan semula barisan skuad muda negara itu.

Biarpun begitu Garrido masih belum mahu berasa selesa sebaliknya menegaskan mereka kini sedang berada pada fasa terakhir menyiapkan pasukan.

Jelasnya, perlawanan persahabatan diharungi pemain-pemain negara membantu membentuk permainan matang dalam kalangan mereka sebelum bermulanya temasya.

Malah, senarai 23 pemain terakhir Harimau Muda yang diumumkan pada Jumaat merupakan adunan terbaik Garrido selepas mengharungi empat perlawanan persahabatan menjelang sepak mula kejuaraan tersebut.

“Perlawanan persahabatan dan persiapan yang telah kita hadapi meletakkan pasukan dalam situasi bersedia menghadapi permainan berkualiti dan lawan yang bagus.

“Sangat bagus untuk pemain mendapat pengalaman demi pengalaman dan secara keseluruhan saya telah nampak kekuatan pasukan menjelang perlawanan sebenar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, empat perlawanan persahabatan menyaksikan skuad negara melakar kemenangan 2-1 dan seri 1-1 ke atas India.

Biarpun begitu dua aksi terakhir skuad negara tewas 1-2 kepada China sebelum tumbang 0-1 di tangan pasukan tuan rumah, Qatar.

PIALA ASIA B-23 QATAR 2024

KUMPULAN D

RABU (17 APRIL)

Uzbekistan lwn Malaysia

(Stdm Antarabangsa Khalifa, Doha, 9 malam)

SABTU (20 APRIL)

Malaysia lwn Vietnam

(Stdm Antarabangsa Khalifa, Doha, 9 malam)

SELASA (23 APRIL)

Kuwait lwn Malaysia

(Stdm Al Janoub, Al Wakrah, 11.30 malam)

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28