Teori Sastera Estetika Bersepadu

A Halim menjelaskan bahawa keindahan yang menjadi teras estetik teks kesusasteraan, seharusnya berpaksi kepada kesedaran tentang peringatan-peringatan ALLAH SWT dalam al-Quran yang berkait dengan persoalan akidah, syariat dan akhlak.
A Halim menjelaskan bahawa keindahan yang menjadi teras estetik teks kesusasteraan, seharusnya berpaksi kepada kesedaran tentang peringatan-peringatan ALLAH SWT dalam al-Quran yang berkait dengan persoalan akidah, syariat dan akhlak.
A
A
A

‘MENILAI Makna Keindahan berasaskan Konsep Estetika Bersepadu’ merupakan tajuk Syarahan Perdana Pelantikan Profesor yang dikemukakan oleh Profesor A Halim Ali pada 31 Januari lalu.

Wacana pengukukan dan legitimasi untuk seorang profesor itu adalah wajib untuk membuktikan keabsahannya atas pelantikan jawatan tertinggi dalam hierarki akademik itu.

Dalam konteks pencapaian A Halim Ali sebagai akademia bermula dengan mengikuti kursus sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1990-an.

Pada waktu itu saya sebagai Ketua Jabatan Persuratan Melayu, menganjurkan ijazah sarjana hanya dalam masa setahun, berbanding dua tahun.

Seramai 150 pelajar mengikutinya dan lulus. Kemudian A Halim bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan Tanjung Malim, Perak.

Kebetulan saya juga dilantik sebagai penilai luar tesis kedoktorannya berjudul ‘Konsep Estetika Bersepadu: Terapan dan Analisis Terhadap Karya-Karya Puisi Ahmad Kamal Abdullah’.

Antara wacananya ialah menghujahkan, bahawa dalam tradisi kesusasteraan Melayu tradisional, aspek keindahan hadir dan membawa makna didaktik, pengajaran daripada ciptaan bersifat keagamaan dan sekular.

Namun, konsep didaktisme berbeza dengan keindahan luaran. Didaktisme larut dalam keindahan dalaman yang mengunjurkan hal-hal yang berfaedah, yang baik-baik, bermoral dan beretika.

Artikel Berkaitan:

Merujuk pandangan Braginsky, beliau membahagikan keindahan karya kesusasteraan Melayu tradisional kepada tiga sfera iaitu sfera keindahan luaran, sfera keindahan dalaman dan sfera fungsional. Di antara dua sfera itu, sfera keindahan dalaman menduduki tempat tinggi kedua, manakala sfera fungsional adalah yang tertinggi.

Pewacanaan syarahan perdana itu, A Halim mendiskusikan aspek-aspek penting dengan mengemukakan Estetika dalam Pemikiran Melayu, Definisi Estetika dan Keindahan, Estetika dalam pelbagai pandangan, Menilai semula Makna Estetika, Manusia Sumber Memahami Makna Keindahan, Konsep Estetika Bersepadu dan Estetika Bersepadu Sebagai Landasan Kritik Keindahan. Buku setebal 143 halaman itu sangat mendalam perbicaraannya, ilmiah dan bernas.

Menurut pengamatan A Halim, estetika dalam sastera Melayu banyak dikemukakan oleh pandangan Mohd Kamal Hassan (1981), Mana Sikana (1986) Hashim Awang (1997), Shafie Abu Bakar (1997), Abdul Hadi W.M (2000) dan beberapa sarjana Melayu lain.

Jelas menunjukkan keraguan dan penolakan terhadap kebolehpercayaan teori-teori sastera Barat dalam menjustifikasi dan mengkonsepsikan makna keindahan dalam teks kesusasteraan yang berteraskan kepada jati diri bangsa, budaya Melayu dan agama Islam.

Pada waktu sama, konsep estetika moden Barat yang muncul pada abad ke-18, terang-terangan mendukung konsep estetika bersifat hedonisme. Ia mementingkan estetika daripada aspek hiburan dan kesenian luaran, yang terpisah jauh daripada intelektual.

Menurut kajian A Halim, beberapa sarjana sastera Melayu kemudian muncul dengan gagasan teori masing-masing sebagai jalan keluar kepada kelemahan teori sastera Barat.

A Halim menjelaskan, keindahan yang menjadi teras estetik teks kesusasteraan, seharusnya berpaksi kepada kesedaran tentang peringatan-peringatan ALLAH SWT dalam al-Quran yang berkait dengan persoalan akidah, syariat dan akhlak. Estetik rabaniah itu adalah hakikat keindahan hakiki iaitu keindahan yang menjadi sumber kepada segala keindahan manifestasi.

Keindahan dalam konteks ini, tidak sekadar hiasan pada binaan struktur atau jalinan gaya bahasa semata-mata. Keindahan sedemikian adalah keindahan yang diagungkan oleh para estetis Barat yang melihat estetik itu dalam juzuk-juzuk tersendiri.

Ia hanya bertujuan untuk mengagungkan nilai estetik, dengan memisahkan daripada keindahan hakiki. Sumber tempat menyandarkan keindahan hakiki ialah al-Quran dan Hadis.

Di dalam al-Quran tersedia pelbagai gaya bahasa kiasan, yang terkandung pula dengan peringatan-peringatan ALLAH untuk hamba-hambaNya.

Setelah menerangkan konsep estetika, A Halim masuk kepada teori sastera yang hendak dibinanya.

Berdasarkan kepada kejadian makhluk mulia Nabi Adam AS yang dicipta daripada tanah, manakala iblis diciptakan daripada api dan malaikat diciptakan daripada cahaya tersebut, pembinaan teori juga bergerak seiring dengan penciptaan kejadian manusia itu.

Sesungguhnya kejadian manusia adalah sebaik-baik dan seindah-indah kejadian. Keindahannya teradun daripada unsur jasmani dan rohani.

Dalam konteks memahami kejadian manusia itu, dihubungkan dengan penciptaan dan penulisan karya sastera serta bagaimana untuk mendekati dan memahaminya.

Hakikat kejadian manusia itu, membuktikan bahawa proses kesempurnaan dan kemantapan boleh berlaku dan diciptakan. Begitulah juga karya sastera.

Referensi secara bandingan, dapat dikiaskan dengan fungsi teks kesusasteraan yang tidak semata-mata dihasilkan pengarang untuk kesusasteraan, sebaliknya berkait rapat dengan perasaan dan idea pemikiran pengarang kepada pembacanya.

Dalam konsep teori Estetika Bersepadu, ketinggian gaya bahasa tidak semata-semata berdiri atas sifatnya, tetapi berpadu erat dengan pemikiran dan perutusan.

Keindahan gaya bahasa terbentuk dan tersurat dengan kehadiran unsur gaya kiasan. Daripada gaya kiasan inilah, pemikiran pengarang dan perutusannya dapat dipersepsi dan ditafsirkan.

Justeru, estetika bersepadu tidak hanya tergambar setakat pada gaya tetapi jauh menjejaki dasar pemikiran pengarang. Teori Sastera Estetika Bersepadu meletakkan teks sastera adalah kualiti keindahan yang terhasil daripada proses kesepaduan gaya bahasa, idea, pemikiran dan perutusan.

Stail penulisan kemudiannya akan terbentuk oleh kemahiran dan dedikasi pengarang. Stail itu juga berkait rapat dengan kebenaran agama dan kebenaran realiti kehidupan tempat di mana teks itu dizahirkan.

Begitulah estetika dalam konsep Estetika Bersepadu bukan sekadar kualiti keindahan yang menyentuh rasa dan pengalaman, tetapi melewati daerah keimanan dan kebenaran syariat.

Ini pandangan baharu yang boleh diberi pertimbangan bagi memahami makna keindahan dalam konteks penulisan akademik dan kritikan sastera.

Kini, dua calon kedoktoran sedang mengaplikasikan teori estetika bersepadu ini. Sementara tiga orang peringkat ijazah sarjana sudah menyiapkannya. Ini adalah petanda bahawa teori ini diterima oleh khalayak sastera.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia