'Aku rindu Gaza dan feseekh'

Khalid bersama anak-anak saudaranya. Juadah maqluba (kanan) dan feseekh yang dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri di Palestin.
Khalid bersama anak-anak saudaranya. Juadah maqluba (kanan) dan feseekh yang dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri di Palestin.
A
A
A

SHAH ALAM - “Setiap kali tiba hari raya hati pasti sedih teringatkan keluarga di Gaza, saya juga rindu mahu menikmati feseekh yang selalu disajikan di pagi raya”.

Begitu luahan rasa Khalid Jamil Hammouda, 30, pemuda berasal dari bandar Beit Lahia di utara Gaza ketika ditanya tentang apa yang paling dirindukan saat menyambut hari raya bersama keluarga di Palestin.

Menurutnya, sambutan raya di Palestin sama seperti negara Islam lain dengan menunaikan solat hari raya di masjid dan kemudian berkumpul bersama ahli keluarga.

“Kebiasaannya di pagi raya, kami sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai dan menikmati makanan istimewa Palestin dipanggil feseekh iaitu ikan masin yang digoreng.

“Untuk makan tengah hari pula, kami menyediakan maqluba iaitu sejenis hidangan nasi bersama daging dan diikuti daging panggang untuk makan malam.

“Selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan enak kami juga kebiasaannya akan mengunjungi taman hiburan bersama-sama sanak saudara,” katanya kepada Sinar Premium.

Khalid Jamil Hammouda bersama isterinya, Maryam.
Khalid Jamil Hammouda bersama isterinya, Maryam.

Tiba di Malaysia kali pertama pada tahun 2017 untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana, Khalid kini meneruskan pengajian peringkat PhD dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Artikel Berkaitan:

Menurut anak ketiga daripada sembilan beradik itu, ini bukan kali pertama dia terpaksa menyambut hari raya berjauhan daripada keluarga tercinta kerana sudah hampir 10 tahun beraya di perantauan.

“Saya meninggalkan Gaza pada tahun 2012 untuk ijazah sarjana muda di Mesir dan selepas menamatkan pengajian saya tidak dapat pulang akibat penutupan lintasan di Semenanjung Gaza.

“Disebabkan itu saya datang ke Malaysia pada tahun 2017 dan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dan seterusnya mendaftar untuk peringkat PhD,” katanya.

Ceritanya, selepas lama berpisah dengan keluarga, dia berpeluang pulang ke tanah air tercinta pada tahun lalu dan lebih manis dia juga sempat mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan sebelum perang besar antara Palestin-Israel meletus.

“Namun setelah perang meletus keadaan menjadi huru-hara. Ramai sanak saudara terkorban dan cedera, malah kami adik-beradik juga terpisah antara satu sama lain.

“Hingga ke hari ini masih ada sebahagian yang terkepung di utara Gaza. Rumah kami turut musnah akibat dibom menyebabkan saya dan keluarga terpaksa tinggal di kawasan khemah terbuka.

“Saya hilang segala-galanya termasuk kelengkapan belajar seperti laptop yang mengandungi banyak data penting, malah semua memori hari perkahwinan yang disimpan turut musnah sama sekali,” katanya.

Perang yang meletus menyebabkan Khalid dan ramai lagi rakyat Palestin terpaksa hidup dalam serba kekurangan.
Perang yang meletus menyebabkan Khalid dan ramai lagi rakyat Palestin terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

Menurut Khalid, ketika berdepan situasi perang itu, keluarga berkeras mahu dia keluar dari Gaza agar sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga mereka dapat hidup.

“Pada mulanya saya enggan meninggalkan keluarga ditambah pula saya telah hilang semuanya, namun akhirnya terpaksa akur dengan permintaan mereka.

“Hingga hari ini saya terpaksa berjauhan daripada ibu bapa (Jamil, 71, dan Fayza, 65) serta ahli keluarga lain yang kini menjalani kehidupan daif dalam khemah di Rafah,” katanya.

Ujar Khalid, setiap kali memikirkan ibu bapa yang semakin uzur, hatinya menjadi sayu namun kesedihan Khalid sedikit terubat apabila baru-baru ini dapat kembali bersatu semula dengan isterinya, Maryam yang terpaksa ditinggalkan di Gaza sebelum ini.

“Tidak mudah untuk membawa keluar isteri saya dari Gaza tetapi menerusi koordinasi kewangan dengan sebuah syarikat Mesir kami akhirnya berjaya.

“Untuk urusan koordinasi kewangan ini, perlu membayar sejumlah wang kepada syarikat Mesir berkenaan yang melakukan penyelarasan dengan kerajaan Mesir bagi proses keluar warga asing dan mereka yang mempunyai permit pemastautin di negara lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kesan daripada perang menjadikan dirinya lebih menghargai segala kenangan bersama keluarga tambahan pula tidak dapat berhubung dengan mereka.

Bagaimanapun, Khalid menaruh harapan agar satu hari nanti dirinya akan dapat membina hidup baharu di Malaysia dan pada masa sama mendoakan semoga keluarganya dapat keluar daripada kemelut perang dan akan kembali bersatu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!