Kes bagasi berisi lebih RM500,000: Tiga saksi akan tampil minggu depan

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga individu akan tampil kepada pihak polis pada minggu depan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung pemilikan bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara, Petaling Jaya, 20 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga lelaki tempatan ini adalah saksi.

"Saksi ini merupakan rakan kepada pengarah syarikat kayu balak yang sebelum ini mendakwa bagasi berisi wang tunai itu adalah miliknya.

"Mereka akan hadir kepada kita dan akan direkod keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk bantu siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, Hussein mengesahkan seorang pengarah syarikat kayu balak telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis pada 30 Mac selepas mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya.

Pengarah syarikat itu mendakwa bagasi mengandungi wang itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang mengatakan wang terbabit adalah milik syarikatnya semasa keterangannya direkodkan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Hussein dalam satu sidang akhbar pada 21 Mac memaklumkan penemuan bagasi terbabit selepas menerima laporan polis yang dibuat oleh pihak pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!