'Tiada lagi teriakan minta tunggu sekejap'

Dorysamy
Dorysamy
A
A
A

BAGAN DATUK - "Pak cik tunggu saya."

Ungkapan itu kedengaran ringkas, namun memberi makna cukup besar kepada R Dorysamy, 67, sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai pengemudi bot penambang di jeti Hutan Melintang di sini.

Perkhidmatan bot penambang yang wujud sejak lebih 60 tahun itu pernah menjadi nadi utama kehidupan masyarakat setempat untuk ke Ladang Hulu Bernam, Selangor yang terletak di seberang Sungai Bernam.

Dorysamy bersama bot penampang yang pernah menjadi nadi utama kepada penduduk setempat.
Dorysamy bersama bot penampang yang pernah menjadi nadi utama kepada penduduk setempat.

Dari tahun ke tahun, khidmat berkenaan telah mengalami pelbagai perubahan dan cabaran sehinggalah terpaksa dihentikan sepenuhnya pada Oktober tahun lalu.

Dorysamy berkata, pemberhentian perkhidmatan bot penambang terpaksa dilakukan atas faktor kos yang tinggi selain jumlah penumpang yang semakin berkurangan.

Menurutnya, perkembangan sistem pengangkutan awam dan jalan raya yang baik juga menyebabkan semakin ramai mampu menggunakan kenderaan sendiri.

Pemberhentian perkhidmatan bot penambang di jeti Hutan Melintang terpaksa dilakukan atas faktor kos yang tinggi selain jumlah penumpang yang semakin berkurangan.
Pemberhentian perkhidmatan bot penambang di jeti Hutan Melintang terpaksa dilakukan atas faktor kos yang tinggi selain jumlah penumpang yang semakin berkurangan.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tidak ada lagi teriakan yang biasa saya dengar.

"Kalau dahulu bila saya jerit bot sudah ada, bot mahu jalan...ada sahaja teriakan minta saya tunggu sekejap, jangan jalan lagi.

"Sekarang semuanya tinggal kenangan, kadang-kadang bila teringat balik, saya sedih tetapi apa boleh buat.

"Kita tidak lagi mampu kerana hampir setiap bulan menanggung kerugian yang tinggi," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Anak jati Hutan Melintang itu berkata, walaupun pengurusan syarikat telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk menaikkan tambang, namun belum cukup untuk menampung keseluruhan perbelanjaan diperlukan.

Katanya, dalam satu bulan, tidak kurang RM3,000 diperlukan untuk kos selenggara bot dan minyak, itu tidak termasuk pembelian insurans dan lain-lain kos.

"Awal perkhidmatan sekitar tahun 60-an dahulu, tambang dikenakan hanyalah sekitar 50 sen dan 80 sen sahaja.

"Hanya sekitar empat tahun lalu, barulah tambang dinaikkan kepada RM1 bagi individu dan RM2 untuk kenderaan motosikal.

"Dengan jumlah sebegitu, pendapatan yang kita perolehi tidak sampai pun separuh daripada kos yang ditanggung," katanya.

Tinjauan dilakukan ke jeti Hutan Melintang mendapati, kawasan itu sunyi dengan keadaan titi kayu yang goyang dan tidak lagi selamat.

Hanya tinggal sebuah bot penambang masih ditempatkan di jeti tersebut, itupun sudah usang dan rosak, tidak lagi boleh digunakan.

Hanya tinggal sebuah bot penampang masih ditempatkan di jeti Hutan Melintang, itupun sudah usang dan rosak, tidak lagi boleh digunakan.
Hanya tinggal sebuah bot penampang masih ditempatkan di jeti Hutan Melintang, itupun sudah usang dan rosak, tidak lagi boleh digunakan.

Mengimbas kegemilangan perkhidmatan bot penambang, Dorysamy berkata, jeti Hutan Melintang suatu ketika dahulu menjadi lokasi tumpuan umum yang hendak menyeberangi sungai untuk ke Sungai Air Tawar dan Parit Baharu di Sabak Bernam.

Katanya, bukan sahaja digunakan pekerja ladang, malah perkhidmatan itu juga menjadi pilihan utama pelajar sekolah yang mengikuti sesi persekolahan di sempadan negeri.

"Orang lebih suka naik bot untuk ke seberang sebab perjalanannya lebih singkat sekitar 20 minit sahaja berbanding satu jam melalui jalan raya.

"Dulu ramai orang, beratur panjang tunggu giliran naik bot, sampaikan kami terpaksa beroperasi hingga jam 12 malam, tak sempat pun nak tutup enjin, lagi-lagi tiba waktu wayang Cina dan upacara keagamaan.

"Waktu itu walaupun penat, saya seronok dapat bantu mereka melalui perkhidmatan bot ini," katanya.

Beliau berkata, pengalaman paling tidak dilupakan sepanjang perkhidmatan apabila perlu membawa seorang wanita Melayu sarat mengandung mahu bersalin.

Peristiwa itu berlaku sekitar 20 tahun lalu yang mana ketika itu terdapat lebih 10 penumpang berada dalam bot penambangnya.

Jeti Hutan Melintang suatu ketika dahulu menjadi lokasi tumpuan umum yang hendak menyeberangi sungai untuk ke Sungai Air Tawar dan Parit Baharu di Sabak Bernam.
Jeti Hutan Melintang suatu ketika dahulu menjadi lokasi tumpuan umum yang hendak menyeberangi sungai untuk ke Sungai Air Tawar dan Parit Baharu di Sabak Bernam.

"Mujurlah perjalanan menaiki bot tidak lama.

"Sampai sahaja di jeti saya minta penumpang seterusnya untuk menunggu sementara saya membawa wanita berkenaan menaiki kereta ke hospital.

"Kejadian itu membuatkan hubungan saya dan keluarga wanita itu rapat, malah anaknya sampai sekarang datang berjumpa dan menyapa saya," katanya.

Beliau akui, perkhidmatan bot penambang masih mendapat permintaan daripada penduduk terutama kalangan pekerja estet dan kilang pemprosesan hasil laut di Hutan Melintang.

"Sampai sekarang masih ada yang hubungi saya, merayu dan minta teruskan bot ini, tetapi kita sudah tidak boleh teruskan.

"Saya harap ada pihak yang boleh ambil alih dan menyambung semula perkhidmatan bot penambang ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28