PSG yakin bangkit lebih padu di Barcelona

Luis Enrique
Luis Enrique
A
A
A

PARIS Saint-Germain (PSG) yakin gergasi Ligue 1 Perancis itu boleh bangkit mengatasi kekalahan 3-2 kepada Barcelona pada suku akhir Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes pada Khamis.

Malah pengendali PSG, Luis Enrique optimis juara Perancis itu mampu menyerlah dalam aksi timbal balik kedua di Stadium Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona pada 17 April depan.

“Ya, adalah jelas bahawa semua kekalahan menyakitkan dan menjengkelkan tetapi saya percaya kami bermain dengan baik menentang pasukan yang sangat kuat.

“Kami hanya akan mengubah perkara yang tidak berjaya dan sentiasa perlu menghargai setiap momen perlawanan sebesar ini.

"Kami akan ke Barcelona dengan banyak keinginan. Ia adalah pandangan positif untuk berfikir bahawa kami boleh menang di sana.

"Di Barcelona ibarat perlawanan akhir untuk kami. Saya yakin dengan pasukan saya," kata Enrique.

Di Paris, bekas bintang Barcelona, Ousmane Dembele meledak jaringan buat Les Parisiens minit ke-48 sebelum Vitor Machado Ferreira menambah gol minit ke-50.

Bagaimanapun, dua gol Raphael Dias Belloli minit ke-37, m-67 manakala satu lagi dijelmakan pemain gantian pertahanan dari Denmark Andreas Christensen (m-77) memastikan angkatan Xavi Hernandez Creus mendapat bekalan selesa minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Pengendali kelahiran Sepanyol itu, yang memenangi treble bersama Barcelona pada 2015 juga menegaskan pasukannya berhak untuk menang timbal balik kedua biarpun Barca menjadi pilihan walaupun beraksi sebagai tuan rumah.

"Kami akan pergi ke Barcelona untuk berperang. Saya tidak pernah melihat kami sebagai pilihan atau siapa pun mereka.

"Dalam persaingan peringkat tertinggi, itulah yang saya lihat. Dan saya akan terus percaya bahawa kami akan pergi ke Barcelona untuk memenangi perlawanan.

"Saya ulangi. Kami boleh memenangi perlawanan ini.

"(Bola sepak) adalah mengenai butiran kecil dan kami berharap butiran kecil itu akan menjadi seperti kita pada perlawanan kedua," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28