'Kalau cuti itu perkara yang luar biasa'

Mustafa memeriksa tiket penumpang sebelum menaiki bas.
Mustafa memeriksa tiket penumpang sebelum menaiki bas.
A
A
A

KETIKA ramai dalam kalangan kita bergembira pada Hari Raya Aidilfitri, masih ada yang tidak dapat meraikan hari mulia tersebut atas tanggungjawab serta amanah diberikan kepada mereka.

Bagi kebanyakan pemandu bas, mereka tidak akan bersama keluarga pada pagi 1 Syawal sebaliknya berada di lebuh raya bersama orang ramai yang menuju ke pelbagai destinasi termasuk pulang berhari raya.

Itulah rutin yang perlu dilalui oleh kebanyakan pemandu bas saban tahun bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pemandu bas, Mustafa Hashim, 60, yang merupakan bapa kepada tiga anak dan datuk kepada tujuh cucu itu ketika ditanya mengenai persiapannya menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri berkata, situasi sedemikian sudah terlalu biasa baginya dan menyifatkan ia sebagai lumrah sebagai seorang pemandu bas.

Mustafa
Mustafa

Katanya, ia sebenarnya satu tanggungjawab besar yang juga boleh disifatkan sebagai satu pengorbanan besar perlu dilaksanakan oleh mana-mana pemandu bas terhadap masyarakat.

“Saya jadi pemandu bas sudah 33 tahun, sepanjang tempoh itu susah nak cakap kalau cerita tentang cuti, sebab memang kami tak ikut pun.

“Saya pun dah lupa bila kali terakhir cuti pada hari raya sebab selalunya bila raya, saya sambut raya atas lebuh raya sahaja, sambut raya dalam bas.

Artikel Berkaitan:

“Kadang-kadang dapat cuti, kadang-kadang tak dapat cuti, ialah kena ikut giliran pada jadual masing-masing yang sudah pun siap disusun oleh bos (majikan)," katanya.

Tambah Mustafa, giliran cuti terutama pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri tertakluk kepada jadual yang telah siap disusun.

“Kita ikut jadual yang disediakan lebih awal...kerja waktu kerja dan cuti waktu cuti. Lagipun syarikat saya bekerja ketika ini hanya ada dua pemandu.

“Kalau dua-dua pemandu cuti, alamatnya bas tak bergeraklah dan perkara ini pastinya akan berikan kesan kepada syarikat dan juga kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas syarikat kami.

“Lagipun, keluarga masing-masing pun dah faham, bila kami terpaksa bertugas terutamaya pada hari raya macam ni, mereka pun dah biasa...mungkin tak keterlaluan kalau saya cakap, kalau tak cuti tu perkara biasa tapi kalau cuti tu perkara yang luar biasa,” katanya.

Mustafa memeriksa tiket penumpang sebelum berlepas.
Mustafa memeriksa tiket penumpang sebelum berlepas.

Menceritakan mengenai makanan kegemarannya pada hari raya, Mustafa memberitahu sudah pasti makanan seperti lemang, rendang menjadi sebagai antara hidangan yang ‘wajib ada’.

Namun katanya, dek kerana tugas, makanan kegemarannya itu hanya dibawa sebagai bekal bagi mengalas perut dalam perjalanan.

“Banyak yang saya suka kalau sebut makanan di hari raya ni, tapi macam biasa lemang, rendang tu memang jadi kegemaran sayalah, cuma bawak bekal sajalah, makan dalam bas.

“Itu pun dah cukup buat saya rasa seronok pada hari raya, walaupun terpaksa bekerja,” katanya.

Sementara itu, Mustafa berkata, biarpun tidak dapat bersama keluarga dan bergembira meraikan ketibaan 1 Syawal, namun dia tetap berbangga kerana dapat membantu orang lain berasa bahagia.

Katanya, dia puas apabila dapat membawa pulang orang ramai yang tinggal jauh di perantauan pulang ke kampung pada hari raya.

“Walaupun terpaksa bekerja pada hari raya, tapi saya rasa bangga dapat tolong orang lain beraya..saya tumpang seronok dan bangga.

“Saya bekerja untuk masyarakat dan tumpang bahagia apabila dapat membahagiakan orang lain pada Hari Raya Aidilfitri kali ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!